Gugur keahlian Bersatu kalau sokong Pakatan, kata ketua penerangan parti


Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin berkata ahli parti perlu sentiasa patuh kepada keputusan parti serta melaksanakan dasar parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

BERSATU memberi amaran kepada ahli-ahlinya agar mematuhi keputusan parti atau sedia berdepan tindakan disiplin termasuk gugur keahlian, ketika parti itu terbelah dua antara kelompok yang menyokong pengerusi Dr Mahathir Mohamad dan presiden Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin berkata sebagai ahli parti, mereka perlu sentiasa patuh kepada keputusan parti serta melaksanakan dasar parti.

“Mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Radzi merujuk Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan keahlian anggota Bersatu gugur serta merta sekiranya “menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain”.

“Setiap ahli hendaklah sentiasa mematuhi pendirian rasmi parti yang telah dibuat secara kolektif  mengikut kaedah dan saluran yang selaras dengan perlembagaan parti,” tambah Radzi, merujuk keputusan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan.

Bersatu kini membentuk gabungan atas nama Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil di Sabah.

Keputusan Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari Pakatan pada hujung Februari menyebabkan parti itu terbelah dua antara yang menyokong beliau dan Dr Mahathir.

Semalam, sayap Pemuda Bersatu mengumumkan keputusan menolak kerjasama dengan Umno sebaliknya menyokong usaha membawa parti kembali untuk bersama Pakatan.

Keputusan Armada ini dibuat beberapa hari selepas Mukhriz membuat satu kenyataan terbuka meminta Muhyiddin menjelaskan kedudukan parti itu dalam kerjasamanya dengan Umno dan PAS.

Dalam kenyataannya, Radzi tidak merujuk kenyataan sayap Pemuda Bersatu semalam yang mengumumkan menolak kerjasama parti dengan Umno dan mahu parti kembali ke pangkuan Pakatan.

Beliau sebaliknya menyebut kenyataan Mukhriz mahu Bersatu kembali bersama Pakatan adalah pendirian peribadi beliau dan bukan pendirian rasmi parti.

“Sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan Pakatan adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti,” katanya.

Beliau mengingatkan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Februari membawa parti keluar dari gabungan yang menang pilihan raya umum ke-14 itu.

Radzi juga menegaskan Dr Mahathir tiada kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama Pakatan Harapan, Bersatu dan Parti Warisan Sabah pada 4 Mei, meminta sidang Dewan Rakyat berjalan seperti biasa dan bukan hanya sehari pada 18 Mei ini.

“Ia satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti,” katanya. – 7 Mei, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen