Marzuki Yahya bukan lagi setiausaha agung Bersatu, kata Muhyiddin


Marzuki Yahya diberhentikan dari memegang jawatan setiausaha agung Bersatu berkuat kuasa 18 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2020.

BERSATU sekarang seperti ada dua setiausaha agung, selepas Presiden Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sudah melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung yang baharu.

Hamzah diketahui mendukung Muhyiddin sementara setiausaha agung sedia ada Marzuki Yahya memihak kepada pengerusi Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin berkata Marzuki sudah diberhentikan berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Pemecatan Marzuki dan pelantikan Hamzah bagaimanapun dibantah oleh Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, melalui sepucuk suratnya kepada Muhyiddin dua hari kemudian.

Dr Mahathir berkata pelantikan Hamzah tidak sah kerana pemecatan dan pelantikan tersebut tidak dirujuk kepada pengerusi, mengikut peruntukan perlembagaan parti.

Dalam pengesahannya hari ini, Muhyiddin berkata Marzuki tidak lagi menjalankan tugas sebagai setiausaha agung.

“Segala tugas setiausaha agung seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Bersatu hendaklah dijalankan oleh Hamzah Zainuddin,” kata Muhyiddin dalam kenyataannya hari ini.

Pada hari sama beliau dilantik, Hamzah mengeluarkan satu pekeliling menangguhkan semua mesyuarat cawangan dan bahagian yang belum diadakan kepada satu tarikh lain yang akan ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Beliau juga mengumumkan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini.

Marzuki bagaimanapun semalam mengeluarkan satu arahan khas, juga menangguhkan mesyuarat cawangan bagi 29 cawangan yang belum bermesyuarat.

Arahan itu menyebut alasan pengumuman Muhyiddin, yang juga perdana menteri, melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April ini. 

Bersatu sedang mengadakan pemilihan parti di semua peringkat ketika wabak Covid-19 menular dan bertambah buruk sehingga dikelaskan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 11 Mac lalu.

Pada 16 Mac, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa dua hari kemudian.

Pada hari yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Syed Hamid Albar mengumumkan Bersatu menangguhkan persidangan serentak 189 bahagian di seluruh Malaysia untuk memilih Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Selepas pendaftaran calon pada 16 Mac lalu, Dr Mahathir kekal sebagai pengerusi setelah tidak ditandingi.

Muhyiddin pula bertanding mempertahankan jawatan presiden dan dicabar oleh timbalannya Muhkriz Mahathir dan seorang lagi ahli, Mohd Faiz Azlee Sham.

Marzuki bertanding jawatan timbalan presiden, disaingi Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan seorang lagi ahli, Anas Akashah Nazri. – 25 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen