Angin perubahan makin kuat, PAS dan Umno bermesyuarat di Kedah


PAS dan Umno, yang menjalin kerjasama rasmi atas nama Muafakat Nasional, mempunyai keseluruhan 17 kerusi daripada 36 di dewan undangan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei 2020.

KEDUDUKAN kerajaan gabungan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah terus jadi spekulasi setelah pemimpin kanan PAS negeri hari ini mengadakan satu pertemuan tertutup, yang disertai wakil Umno di ibu pejabat parti di Alor Setar.

Pertemuan dihadiri Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan; Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Moktar, dan Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom, lapor BH Online.

Semua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Kedah dilaporkan hadir, termasuk Pesuruhjaya PAS negeri Ahmad Yahaya dan Ketua Pembangkang di DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dua wakil Umno di DUN Kedah iaitu Adun Bandar Baharu, Norsabrina Mohd Noor dan Adun Sungai Tiang, Suraya Yaakob juga dilapor dilihat memasuki Kompleks PAS Kedah.

PAS dan Umno, yang menjalin kerjasama rasmi atas nama Muafakat Nasional, mempunyai keseluruhan 17 kerusi daripada 36 di dewan undangan negeri. 

Gabungan PH dan Bersatu menguasai DUN Kedah dengan kelebihan dua kerusi.

The Malaysian Insight sedang cuba menghubungi pemimpin politik di Kedah untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Pertemuan pemimpin PAS dan Umno di Kedah hari ini menyusul kenyataan Ahmad pada Rabu lalu bahawa PAS Kedah sedia mengambil alih pentadbiran negeri kerana PH dan Bersatu negeri masing-masing berkecamuk, menyebabkan gabungan yang memerintah rapuh.

Tidak seperti di Johor, Melaka, dan Perak, pentadbiran PH di Kedah kekal selepas ia membentuk kerjasama politik dengan Bersatu.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dikekalkan sebagai menteri besar walaupun beliau bercanggah pandangan dengan langkah Presiden Muhyiddin Yassin membawa parti keluar daripada PH dan bekerjasama dengan Umno.

Rabu lalu, Ahmad berkata kedudukan Mukhriz sekarang goyah kerana ada wakil rakyat Bersatu yang tidak lagi menyokong beliau dan akan mendukung gabungan PAS dan Umno.

PH mempunyai 13 kerusi dengan PKR 7, Amanah 4, dan DAP 2, sementara Bersatu ada 6 kerusi.

Ahmad juga mendakwa PH di Kedah semakin rapuh susulan krisis dalaman PKR. – 10 Mei, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen