Bersatu masih dalam Pakatan Harapan, kata Dr Mahathir


Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata Bersatu masih dalam Pakatan Harapan sehingga diputuskan oleh majlis tertinggi untuk keluar.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Mei, 2020.

BERSATU masih dalam Pakatan Harapan (PH), dakwa pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, ketika presiden parti Muhyiddin Yassin kini mengetuai kerajaan di Putrajaya manakala dua menteri besar dari parti itu digantikan oleh Umno.

“Masih, sehingga keputusan untuk keluar dibuat oleh majlis tertinggi, (Bersatu) masih (dalam PH).

“Kalau kita mahu keluar, kita akan keluar,” katanya, dalam sidang media bersama PH, Bersatu dan Warisan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

PH diwakili oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sementara Warisan oleh presidennya Mohd Shafie Apdal.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, tidak hadir.

Dr Mahathir ditanya mengenai kedudukan parti itu dan PH selepas beliau mengulangi bahawa keputusan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan yang memenangi pilihan raya umum ke-14 tidak dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Menurut Dr Mahathir, Muhyiddin membawa Bersatu bekerjasama dengan Umno dan Perikatan Nasional tanpa persetujuan MPT.

“Dia buat keputusan sesuka hati dia saja, sebab itu kita tidak ada kepercayaan lagi pada pemimpin yang tidak ada endah pada parti sama sekali,” katanya.

Dr Mahathir juga sekali lagi menegaskan beliau masih pengerusi Bersatu yang sah setelah peletakan jawatannya pada 24 Februari ditolak oleh MPT.

“Saya tulis surat letak jawatan, tetapi surat itu ditolak, parti tidak terima peletakan jawatan saya dan minta saya terus jadi pengerusi, dan saya bersetuju… depan Muhyiddin,” katanya.

Muhyiddin mendakwa beliau kini memangku tugas pengerusi selepas tiada peruntukan dalam perlembagaan parti untuk Dr Mahathir kembali memegang jawatan pengerusi setelah letak jawatan.

Minggu lalu, dua rakaman daripada mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari tersebar di media sosial mendedahkan perbincangan pimpinan kanan parti itu mengenai cadangan supaya Bersatu keluar dari PH.

Rakaman pertama mendedahkan bagaimana mesyuarat menyerahkan kepada Dr Mahathir sebagai pengerusi parti untuk memutuskan sama ada Bersatu kekal atau keluar dari PH.

Rakaman kedua pula memperdengarkan bagaimana Dr Mahathir merayu kepada pimpinan kanan Bersatu supaya tidak memaksa beliau memungkiri janjinya mengenai peralihan kuasa perdana menteri.

Mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari itu menjadi titik perbalahan dalam Bersatu yang kini terbelah dua antara kelompok yang menyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Sementara itu ditanya sama ada parti akan mengambil tindakan terhadap Muhyiddin, Dr Mahathir menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan. – 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen