Dr Mahathir bukan lagi pengerusi Bersatu, kata RoS


Diyana Ibrahim

Menurut ketua pengarah RoS, Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan pada hujung Februari lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad bukan lagi pengerusi Bersatu kerana telah letak jawatan pada hujung Februari lalu, kata pendaftar pertubuhan (RoS).

Dalam sepucuk surat kepada Bersatu pada 5 Mei, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Masyati Abang Ibrahim mengesahkan jawatan pengerusi Bersatu kini berhak disandang oleh presiden Muhyiddin Yassin, selaras dengan peruntukan perlembagaan parti.

“(RoS) mengesahkan bahawa peletakan jawatan sebagai pengerusi Bersatu oleh Dr Mahathir adalah sah dan pemangkuan jawatan pengerusi Bersatu oleh Muhyiddin adalah juga sah dan masih berkuatkuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan Bersatu sehingga diadakan pemilihan pengerusi baharu,” katanya dalam surat tersebut.

Dr Mahathir bagaimanapun menang tanpa bertanding pemilihan parti yang sedang ditangguhkan selepas tiada pencalonan lain untuk jawatan itu setelah penamaan calon pada 16 Mac lalu.

Bersatu menangguhkan pemilihannya susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19. Ini adalah pemilihan parti yang pertama sejak penubuhan empat tahun lalu, yang dijangka akan ditetapkan pada satu tarikh baharu selepas 30 Jun ini.

RoS yang dihubungi oleh The Malaysian Insight mengesahkan surat tersebut adalah daripada JPPM bagi menjawab surat daripada Bersatu bertarikh 1 Mei, yang memaklumkan kedudukan terkini jawatan dalam parti.

Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya yang dihubungi oleh The Malaysian Insight juga mengesahkan menerima surat daripada RoS kepadanya, bertarikh 5 Mei.

Perkara 16.9 Perlembagaan Bersatu yang memberi kuasa kepada presiden untuk memangku jawatan pengerusi sekiranya pengerusi berhenti atau diberhentikan.

Mengikut peruntukan itu, presiden yang memangku tugas pengerusi parti mempunyai segala kuasa yang ada pada seorang pengerusi, sehingga pemilihan parti yang diadakan tiga tahun sekali.

Kedudukan pengerusi Bersatu jadi pertikaian ketika Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menjalin kerjasama politik dengan parti-parti lain membentuk kerajaan di Putrajaya dan empat negeri.

Dr Mahathir dan pendukungnya sebelum ini berkali-kali menegaskan tindakan Muhyiddin tidak mendapat mandat parti. Semalam, Dr Mahathir malah berkata Bersatu masih bersama dengan PH.

Dua rakaman daripada mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu yang membincangkan cadangan Bersatu keluar PH juga tersebar minggu lalu.

Rakaman pertama mendedahkan bagaimana mesyuarat menyerahkan kepada Dr Mahathir sebagai pengerusi parti untuk memutuskan sama ada Bersatu kekal atau keluar dari PH.

Rakaman kedua pula memperdengarkan bagaimana Dr Mahathir merayu kepada pimpinan kanan Bersatu supaya tidak memaksa beliau memungkiri janjinya mengenai peralihan kuasa perdana menteri.

Awal hari ini, 27 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan ketua parti negeri menegaskan tindakan Bersatu keluar dari PH dan membentuk gabungan politik baharu telah diputuskan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari – sehari sebelum Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan pengerusi parti. – 19 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen