5 lagi korban Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Seorang petugas kesihatan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang ditulis dengan 'Rindu Ibu' semasa pemeriksaan di Batu Muda di Kuala Lumpur. Sebanyak lima lagi kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2020.

SERAMAI 202 pesakit pulih dalam masa 24 jam melebihi jumlah kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit yang pulih kini seramai 2,478 orang dan mereka sudah pun dibenarkan keluar dari hospital.

“Jumlah pesakit yang pulih adalah 49.7% atau hampir separuh daripada semua kes.

“Manakala terdapat 170 kes jangkitan direkodkan setakat tengah hari tadi menjadikan jumlah jangkitan nasional sebanyak 4,987, ” katanya pada sidang akhbar harian Kementerian Kesihatan mengenai Covid-19.

Tambahnya, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,427 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Bagaimanapun lima kematian dilaporkan menjadikan angka kematian keseluruhan seramai 82 orang.

Salah seorang daripada mangsa termasuk seorang lelaki yang tidak mempunyai pengenalan diri dan dipercayai warga asing.

Dr Noor Hisham berkata lelaki itu ditemui meninggal dunia di Kota Kinabalu pada 6 April dan sampel yang diambil semasa bedah siasat mengesahkan dia positif Covid-19.

Hal itu kini masih dalam siasatan polis, katanya. 

Empat kematian lagi melibatkan tiga orang lelaki dan seorang wanita, yang kesemuanya warga emas dengan sejarah penyakit kronik.

Dua daripada mereka pernah hadir himpunan tabligh di Seri Petaling.

Dr Noor Hisham juga mendedahkan 75% kematian wabak di negara ini melibatkan lelaki.

Diminta untuk menjelaskan perkara itu, Dr Noor Hisham berkata ia adalah kerana kluster terbesar positif Covid-19 adalah himpunan tabligh Seri Petaling yang pesertanya adalah lelaki.

Kebanyakan kematian yang dilaporkan juga adalah kerana kluster itu.

85% daripada mangsa juga tanpa mengira jantina mempunyai sejarah penyakit kronik.

Selain itu, mereka yang berumur di atas 60 tahun dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi, katanya lagi. – 14 April, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen