Kes kematian ke-77 tidak sertai perhimpunan di Seri Petaling, kata KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian ke-77 akibat Covid-19 tidak menyertai perhimpunan di Seri Petaling. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 April, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah malam ini memaklumkan terdapat ralat mengenai kes kematian ke-77 (kes pesakit ke-2,797) akibat Covid-19 seperti diumumkannya pada sidang media mengenai perkembangan terkini wabak itu di Putrajaya, petang tadi

Dr Noor Hisham dalam hantaran terbaharu di laman Facebook beliau malam ini, berkata kes pesakit ke-2,797 itu bukan merupakan kes indeks dan tidak menyertai perhimpunan di Seri Petaling.

“Merujuk kepada sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan pada 5.30 petang 13 April 2020, adalah dimaklumkan bahawa berlaku sedikit ralat. Kes kematian ke-77 (kes ke-2,797) adalah merupakan kontak rapat kepada kes indeks (iaitu kes ke-703).

“Ini bermakna kes ke-2,797 tersebut bukan merupakan kes indeks dan tidak menyertai perhimpunan di Seri Petaling. KKM (Kementerian Kesihatan) mengucapkan takziah dan memohon maaf kepada ahli keluarga arwah,” katanya. 

Terdahulu pada sidang media petang tadi, Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-77 (kes pesakit ke-2,797) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang. – Bernama, 13 April, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen