184 kes Covid-19 disahkan, 3 kematian dilaporkan, kata KP Kesihatan


Bede Hong

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan dan ujian kesihatan yang lewat antara punca kematian dalam jangkitan Covid-19 di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2020.

MALAYSIA mencatat 184 kes Covid-19 baru hari ini, angka kes baharu yang tertinggi sejak 3 April yang mencatat 217 kes baharu.

Kes baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini sebanyak 4,530 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Angka hari ini mengakhiri tiga hari yang menunjukkan jumlah kes yang pulih melebihi jangkitan baru.

Terdapat 165 yang pulih dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 1,995 kes, atau 44% daripada semua kes jangkitan.

Tiga orang pesakit pula dilaporkan meninggal dunia hari ini, menjadikan angka kematian keseluruhan sebanyak 73 orang. Kadar kematian kini adalah 1.61%.

Kes kematian adalah seorang lelaki berusia 66 tahun yang mempunyai sejarah diabetes, tekanan darah tinggi dan gout, dia meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar di Negeri Sembilan pada pukul 12.05 malam. Dia dijangkiti oleh seorang pesakit dari kluster Seri Petaling dan ditahan pada 1 April.

Kematian kedua ialah lelaki berusia 71 tahun yang memiliki diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, dia meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada jam 11.15 tengah hari tadi. Dia dimasukkan ke dalam wad pada 15 Mac lalu.

Kematian ketiga adalah lelaki berusia 63 tahun dengan sejarah tekanan darah tinggi, dia meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh pada jam 12 tengahari tadi. Dia ditahan wad pada 25 Mac.

Selain kes kematian dan pemulihan, terdapat 2,462 kes Covid-19 yang masih aktif, di mana pesakit diasingkan dan diberi rawatan, kata Noor Hisham.

Beliau berkata 72 pesakit pula kini dimasukkan ke unit rawatan rapi, dengan 38 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan. – 11 April, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen