Kedai gunting rambut antara lokasi berisiko tinggi penularan virus, kata pakar perubatan


Sheridan Mahavera

Pakar kesihatan menyokong pandangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang kebenaran operasi perkhidmatan kedai gunting rambut perlu ditangguhkan. – Gambar EPA, 12 April, 2020.

PUTRAJAYA tidak sepatutnya membenarkan kedai gunting rambut dibuka semula kerana ia adalah lokasi utama penularan Covid-19, kata pakar perubatan.

Mereka menyatakan sokongan terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan kebenaran operasi perkhidmatan sedemikian perlu ditangguhkan.

Noor Hisham berkata, langkah yang diambil di bawah fasa pertama dan kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 14 April harus diteruskan di bawah fasa ketiga, yang berakhir pada 28 April.

Walaupun sektor swasta mahu perkara itu dilaksanakan, beliau berkata operasi berhubung sektor tersebut “harus ditangguhkan”.

“Kita tidak boleh harap untuk kembali normal ketika fasa ini. Kita harus terus mengekalkan jarak sosial dan elak perhimpunan awam seboleh mungkin, ” katanya pada sidang akhbar Covid-19 semalam.

Kedai gunting adalah antara beberapa perniagaan dan industri yang dibenarkan untuk meneruskan operasi semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April.

Walaupun mereka menyokong lebih banyak sektor ekonomi meneruskan operasi, mereka juga turut memberi amaran bahawa pelonggaran sekatan terlalu awal boleh menjejaskan keberkesanan PKP, yang banyak membendung penularan virus itu.

“Menamatkan PKP sebelum ini, atau melonggarkan sekatan terlalu awal dan memberikan rasa aman palsu boleh menyebabkan masalah baru muncul dan mengganggu banyak kejayaan usaha pembendungan virus yang dicapai setakat ini,” kata Galen Centre, sebuah badan kajian dasar kesihatan dan sosial.

Pakar-pakar juga bimbang berhubung bagaimana untuk menguatkuasakan jarak sosial dan kebersihan di lebih banyak tempat kerja sekiranya sekatan dilonggarkan.

Antara sektor yang menjadi perhatian utama ialah industri dan perniagaan yang mempunyai bilangan pekerja asing yang tinggi kerana kumpulan ini dianggap sebagai golongan yang berisiko tinggi, kata Persatuan Pakar Kesihatan Awam (PPPKAM).

“Mereka hidup dalam keadaan yang sempit dan kekurangan pemeriksaan di kalangan mereka berhubung virus itu,” kata Presiden PPPKAM Dr Zainal Ariffin Omar.

“Terdapat kekhuatiran bahawa kedua-dua faktor ini boleh menjadi punca kluster baru Covid-19 yang di kalangan mereka seperti yang berlaku di Singapura,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Singapura, sejak 9 April berjaya membendung jangkitan Covid-19 secara besar-besaran, menyaksikan 287 peningkatan dalam kes-kes baru, yang kebanyakannya dari kelompok pekerja asing yang tinggal di asrama.

Di tengah-tengah Kuala Lumpur, dua kawasan yang mencatat jangkitan tinggi adalah di kawasan yang menempatkan pekerja asing sehingga terpaksa diperintahkan untuk berkurung mulai 7 April selepas 15 kes positif dikesan di kalangan penduduk.

Kebimbangan Zainal adalah berdasarkan fakta bahawa banyak industri yang dibenarkan untuk meneruskan operasi menggunakan khidmat pekerja asing.

Industri ini termasuk pengeluar bahagian automotif, komponen mesin dan barang dan perkhidmatan aeroangkasa.

Sebilangan industri pembinaan juga dibolehkan untuk beroperasi semula seperti projek berskala besar yang telah disiapkan 90% dan yang melibatkan kerja-kerja terowong dan penyelenggaraan.

Zainal juga menegaskan pembukaan semula kedai-kedai elektronik dan perkakas boleh meningkatkan risiko ketika jarak sosial diamalkan di kalangan rakyat Malaysia.

“Terdapat risiko apabila anda membenarkan kedai-kedai ini dibuka semula. Orang akan berkumpul. Harus ada prosedur yang ketat kepada perniagaan ini apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan.” – 12 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen