KEMENTERIAN Kesihatan berharap jumlah kes baharu terus berkurangan dan tidak melepasi paras 5,000 kes esok, tarikh yang diandaikan sebagai fasa kemuncak jangkitan Covid-19 di Malaysia.
Ketua Pengarah Dr Noor Hisham Abdullah berkata demikian hari ini ketika ditanya sekiranya beliau benar-benar percaya Malaysia sudahpun melepasi fasa kemuncak jangkitan.
“Sasaran kita untuk (merekodkan) kurang daripada 6,300 kes yang dijangka JP Morgan. Saya rasa pencapaian kita lebih baik dan esok mungkin kita ada kurang dari 5,000 kes,” katanya.
Bercakap dalam sidang media disiar langsung petang ini, Dr Noor Hisham berkata beliau berharap jumlah kes akan berkurangan dan Malaysia akan dapat menumpaskan serangan wabak tersebut.
Tambahnya, jumlah kes yang rendah berbanding andaian badan kajian tersebut juga setakat ini menunjukkan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkesan mengawal jangkitan.
Katanya lagi, kadar positif juga hanya kira-kira 5.8% daripada keseluruhan lebih 83,000 yang disaring setakat ini – lebih rendah dari kadar 10% seperti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Dr Noor Hisham pada Jumaat lalu mengumumkan, pemerhatian menunjukkan jumlah kes di Malaysia sudahpun stabil dan tiada peningkatan mendadak.
Beliau juga pada waktu itu berkata Malaysia mungkin sudahpun melepasi fasa kemuncak jangkitan pada minggu lalu apabila jumlah kes baharu semakin kurang berbanding jumlah pesakit sembuh.
Jelasnya, sebelum PKP dikuatkuasa, virus itu mampu menjangkiti lebih tiga orang pada satu masa dan kini berjaya diturunkan kepada hanya seorang.
Beliau juga jelaskan, jangkaan Kementerian Kesihatan mengenai kadar jangkitan Covid-19 di Malaysia berbeza dengan badan kajian seperti firma JP Morgan dan Malaysia Institute of Economic Research.
Katanya, jangkaan kementerian berdasarkan data semasa dan jangkaan dua firma tersebut, yang meramalkan jangkitan memuncak pada pertengahan April berdasarkan anggapan dan data negara lain.
Terdahulu hari ini, Dr Noor Hisham mengumumkan seramai 168 pesakit lagi sembuh hari ini, lebih banyak daripada kes baharu positif Covid-19.
Sebanyak 134 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 4,817.
Seramai 2,464 orang daripadanya kini merupakan kes aktif dan sedang menerima rawatan dan satu lagi kematian baharu dilaporkan hari ini membawa jumlah kematian seramai 77 orang. – 13 April, 2020.
Komen