KKM berusaha pastikan anggaran 6,000 jangkitan Covid-19 tak berlaku


Bede Hong

5,000 katil dengan 800 alat bantuan pernafasan, 5,000 jururawat kontrak dan pegawai pembantu perubatan antara usaha KKM, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan sedang berusaha untuk memastikan anggaran badan kajian JP Morgan yang akan terdapat 6,300 kes jangkitan positif Covid-19 menjelang pertengahan April tidak menjadi kenyataan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian sudah mengambil maklum tentang ramalan itu tetapi percaya ia dapat dihalang daripada berlaku.

“Kami bagaimanapun berharap, dengan pelaksanaan perintah kawalan terhad dan penjagaan kesihatan yang berlaku, kami boleh mengenal pasti mereka yang dijangkiti, mengasingkan dan merawat mereka.

“Kami percaya dengan usaha kami, kami boleh mengurangkan jumlah (jangkitan) dan tidak mencapainya (anggaran). Ini sasaran kami, kami cuba melandaikan keluk,” katanya pada taklimat harian di KKM, hari ini.

Dalam nota kajian dikeluarkannya, JP Morgan berkata Malaysia memasuki “fasa pemecutan” lonjakan jangkitan Covid-19 dan boleh mencapai kemuncaknya pada pertengahan bulan depan.

Badan kajian itu menjangkakan fasa pemecutan keluk akan berlaku pada seminggu atau dua minggu akan datang sebelum beralih kepada fasa perkumpulan, di mana kadar jangkitan akan menjadi lebih perlahan dengan jangkitan antara hanya 100 dan 250 kes.

“Kami menjangkakan puncak jangkitan akan berlaku pada pertengahan April dengan anggaran kes 6,300,” katanya berdasarkan andaian tiga faktor; sampel penduduk, kadar jangkitan kedua dan andaian kematian.

Dr Noor Hisham berkata ujian Covid-19 dibuat KKM kini mencecah 6,000 ujian sehari dan dijangka meningkat kepada 16,000 dalam beberapa minggu lagi.

“Kami sedang berusaha untuk menggunakan kit ujian antigen, yang akan membantu pengesanan lebih pantas. Perbincangan untuk menggunakan kit ujian massa yang membolehkan hasil ujian diperolehi dalam masa sehari juga sudah dijalankan.

“Pengalaman Korea Selatan menunjukkan mereka mampu melakukan 20,000 ujian sehari. Saya percaya kita boleh tingkatkan keupayaan kita.

“Di mana sahaja wujudnya zon merah, kita mahu kenal pasti kumpulan sasaran, misalnya kluster tabligh. Kami mahu mengumpulkan semua kumpulan terlibat dan memastikan mereka disiasat (periksa) supaya kami boleh rawat mereka.”

Tambahnya, kit ujian baharu mampu mengesan virus walaupun pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Tiga kes pertama (di Malaysia) adalah asymptomatic. Warga China yang memasuki Johor dari Singapura tidak menunjukkan sebarang gejala.”

Jelasnya, KKM juga sudah mengenal pasti hampie 3,000 jururawat kontrak dan pegawai perubatan untuk membantu.

KKM mensasarkan tambahan 5,000 katil dengan 800 alat bantuan pernafasan (ventilator), dengan 500 daripadanya khusus untuk pesakit Covid-19. Buat masa sekarang, negara hanya mempunyai 219 alat bantuan pernafasan.

“Kami akan menerima 40 unit pada Jumaat dan 200 lagi minggu depan,” katanya, menambah yang 60 alat bantuan pernafasan dipinjamkan oleh sektor swasta.

Setakat hari ini, Malaysia melaporkan 19 kematian dan 172 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,796 kes.

45 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 memerlukan bantuan alat pernafasan. Jumlah yang pulih sepenuhnya pula seramai 199 orang. – 25 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen