LEBIH 1,000 kakitangan kesihatan terdiri daripada jururawat dan pegawai perubatan yang sudah bersara kembali berkhidmat di barisan hadapan bagi memerangi Covid-19, kata Kementerian Kesihatan hari ini.
“Kami mengalu-alukan mereka. Ini adalah jangka pendek, jadi kami bekerjasama rapat dengan mereka tetapi perlu melihat kepakaran mereka juga,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Apa yang kami mahukan ialah mereka yang mempunyai kepakaran dari segi pengalaman bekerja di ICU,” katanya.
Beliau menambah jumlah itu termasuk 65 pakar dari hospital swasta.
Beliau berkata jururawat berpengalaman daripada kumpulan itu akan dikerahkan ke hospital Covid-19.
“Kami juga sangat fleksibel. Sebagai contoh pakar kami hanya boleh bekerja selama dua hari dalam seminggu, kami meletakkannya di bawah sessional.
“Sessional bermaksud sumbangan 10 jam kepada Kementerian Kesihatan,” katanya sambil menambah kementerian juga menawarkan kontrak enam bulan bagi mereka dari hospital swasta yang ingin berkhidmat kepada kerajaan.
Sementara itu Dr Noor Hisham juga berkata kementerian menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang boleh bertahan selama dua minggu lagi.
Beliau menambah penggunaan PPE telah meningkat sebanyak 10 kali.
Isu kekurangan PPE untuk petugas barisan hadapan sudah dibangkitkan berkali-kali.
Bagaimanapun doktor mendakwa walaupun kementerian menjamin bekalan mencukupi, mereka berasa perlu untuk mengguna semula atau membuat sendiri PPE kerana tidak tahu bila bekalannya akan ada semula.
Malaysia hari ini mencatatkan 134 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,817 kes.
Daripada 4,817 kes, 2,464 adalah kes aktif di mana pesakit diletakkan di dalam wad dan dirawat.
Sementara itu terdapat satu kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian seramai 77 orang. – 13 April, 2020.
Komen