Polis dijangka temukan motif penculikan Albertine Leo


POLIS dijangka mengetahui motif di sebalik penculikan Albertine Leo Jia Hui yang berusia enam tahun tidak lama lagi, kata Ketua Polis Johor M. Kumar.

Beliau berkata ini susulan penemuan bukti baharu yang membawa kepada penahanan semula dan reman seorang suspek.

“Kami kini memberi tumpuan kepada alat permainan seks, dan bahan lucah kanak-kanak serta penderaan seksual yang ditemui dari rumah suspek di Kulai.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 10 Ogos dan kami telah menemui petunjuk baharu untuk membantu kami dalam siasatan.

“Kami berharap dalam beberapa hari ini, kami dapat mengetahui motif di sebalik penculikan mangsa,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata polis juga sedang menyiasat sama ada suspek adalah seorang pedofil.

Kumar juga menegaskan walaupun mainan seks ditemukan, Leo sihat dari segi perubatan dan tidak menunjukkan sebarang tanda dia didera secara seksual semasa ditahan.

“Mangsa menerima rawatan kesihatan daripada pakar perubatan dan tiada sebab untuk pemeriksaan kesihatan lagi.

“Sudah tentu, mana-mana mangsa yang diculik akan melalui beberapa bentuk unsur traumatik, tetapi selain itu, dia sihat dari segi perubatan,” katanya.

Suspek ditahan semula pada 4 Ogos (Ahad) berikutan penemuan pelbagai alat permainan seks, bahan lucah dewasa dan bahan penderaan seksual kanak-kanak di kediamannya di Kulai.

Dia ditahan reman sementara menunggu siasatan lanjut mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Suspek berusia 31 tahun itu sebelum itu direman selama 13 hari bermula 23 Julai hingga Isnin (5 Ogos) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Suspek tunggal merupakan suspek kelima dan terakhir yang ditahan susulan penculikan Leo yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria di Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu.

Albertine ditemui selamat di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor pada 23 Julai lalu.

Empat lagi suspek berusia 28 hingga 55 tahun, yang sebelum ini ditahan dan direman telah dibebaskan dengan jaminan polis. – 6 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen