POLIS memanggil tiga individu, termasuk pengasuh untuk membantu siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata antara yang dipanggil hari ini ialah bekas pengasuh kanak-kanak itu dan dua ahli keluarganya.
“Mereka dipanggil untuk membantu dan melengkapkan siasatan polis,” katanya.
Hussein berkata mereka memberikan keterangan di balai polis Petaling Jaya.
Semalam, polis dilaporkan merampas telefon bimbit ibu bapa Zayn Rayyan untuk siasatan lanjut.
Ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun yang ditemukan mati di Damansara Damai Disember lalu, direman tujuh hari oleh mahkamah majistret pada Ahad.
Majistret Azura Mohd Saad membenarkan reman itu, dan pasangan itu akan ditahan sehingga 9 Jun ini.
Kes itu, yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, telah difailkan semula sebagai kes bunuh selepas polis menemui bukti.
Mayat Zayn ditemui selepas lebih 30 jam dia dilaporkan hilang pada 5 Disember.
Pemeriksaan forensik mendapati terdapat kecederaan di leher dan badan Zayn. Polis percaya dia dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di anak sungai.
Pada Januari, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata polis telah merekodkan keterangan lebih 200 orang berhubung kes itu.– 3 Jun, 2024.
Komen