POLIS tidak menemui sebarang unsur sabotaj atau niat jahat selepas sebuah kenderaan merempuh perkarangan Gereja St Ignatius di Petaling Jaya, menyebabkan beberapa harta benda gereja itu rosak sebelum melanggar pokok pada malam Jumaat.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata punca kejadian masih dalam siasatan.
Hussin berkata pihaknya masih dalam proses mengenal pasti dan merekodkan kenyataan saksi bebas.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu. Selain itu, kami menggesa semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu kenyataan Paderi Lawrence Ng berkata kejadian itu berlaku kira-kira 11.45 malam pada Jumaat.
Kenderaan itu masuk pintu pagar dan melanggar meja dan kerusi yang berada di kawasan tempat letak kereta berbumbung sebelum merempuh sebatang pokok di gereja itu, katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pemandu yang kelihatan tidak cedera, dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Ng berkata beliau telah membuat laporan polis dan diberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan.
Susulan laporan itu, Hussin dipetik sebagai berkata bahawa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Hussin berkata pemandu lelaki berusia 30-an itu mendakwa dalam perjalanan dari Subang Jaya ke Kelana Jaya dan tersalah pusing, hilang kawalan dan merempuh perkarangan gereja.
Beliau berkata pemandu terbabit mengalami kecederaan tulang belakang dan pada mulanya dihantar ke Pusat Perubatan Kelana Jaya sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.
Hussin berkata, sampel darah dan air kencing telah diambil dan akan dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis.
Pemandu itu telah dibebaskan dan polis telah merekodkan keterangannya. – 3 Jun, 2024.
.
Komen