Polis kesan pihak sebar video serangan Faisal Halim 


POLIS sedang memburu pihak yang bertanggungjawab mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pemain bola sepak negara Faisal Halim diserang.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan ketulenan video itu, mendakwa ia adalah video sebenar kejadian itu.

Beliau berkata, mendedahkan bukti video kes yang masih dalam siasatan adalah satu kesalahan, dan polis telah memulakan siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hussein berkata individu yang terlibat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan kesalahan mendedahkan maklumat atau perkara yang diperolehi semasa menjalankan tugas atau dalam melaksanakan fungsi mereka di bawah mana-mana undang-undang bertulis, boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Bagi sesiapa yang terlibat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang palsu), jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun , atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Hussein berkata kesalahan di bawah Akta yang sama juga memperuntukkan mereka yang didapati bersalah didenda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Beliau berkata kenyataan media itu dikeluarkan susulan pengesanan video berdurasi 56 saat di platform media sosial (media sosial X @OneFootballM) hari ini, yang merupakan bukti masih dalam siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Hussein turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi menghormati dan menjaga sensitiviti mangsa dan keluarganya.

Beliau berkata polis memandang serius perbuatan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video itu sehingga mengganggu siasatan yang sedang dijalankan. – 24 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen