Tiga ditahan bantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak


Albertine Leo Jia Hui dilaporkan hilang semasa perayaan Bon Odori Jepun di Eco Galleria di Iskandar Puteri, Johor Bahru, kira-kira jam 8.30 malam Sabtu lalu.– Gambar PDRM, 23 Julai, 2024.

TIGA individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Ketua Polis Johor M.Kumar berkata dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 dan 55 tahun ditahan kira-kira 1.30 tengah hari di kawasan Iskandar Puteri semalam.

Albertine Leo Jia Hui dilaporkan hilang di sekitar kawasan sama (Iskandar Puteri) pada Sabtu.

“Kami menyiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan menculik dengan niat untuk mengurung orang itu,” kata Kumar dalam satu kenyataan.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Sila salurkan segala maklumat kepada talian hotline polis Johor di talian 019-2792095 atau bilik gerakan di talian 07-2212999,” katanya.

Semalam, ibu kepada kanak-kanak yang hilang itu merayu orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai keberadaan anak perempuannya, kerana ini boleh membantutkan usaha mencari.

Leo Qieo Xin, 37, menyebut bahawa sejak laporan kehilangan anak perempuannya menjadi tular, maklumat palsu dan khabar angin telah disiarkan di media sosial mengenai kehilangannya.

“Terlalu banyak maklumat dan kononnya penampakan disiarkan di media sosial. Ini akan menjejaskan pencarian polis terhadap anak saya. Jadi tolong hentikan penyebaran maklumat palsu,” katanya.

Albertine dilaporkan hilang semasa perayaan Bon Odori Jepun di Eco Galleria di Iskandar Puteri, Johor Bahru, kira-kira jam 8.30 malam Sabtu lalu.

Dia berketinggian kira-kira 120cm, berambut panjang, dan kali terakhir dilihat memakai seluar pendek dan kemeja-T putih dengan cetakan Mickey Mouse di bahagian hadapan. – 23 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen