Kanak-kanak hilang ditemukan di Batang Kali


Albertine Leo ditemukan selamat di Batang Kali, Selangor.– Gambar PDRM, 23 Julai, 2024.

ALBERTINE Leo, 6, yang dilaporkan hilang pada Sabtu (20 Julai) di Pusat Beli Belah Eco Galleria di Iskandar Puteri, Johor telah ditemui.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan mangsa ditemui di kawasan Batang Kali.

Dia diselamatkan kira-kira jam 4 pagi hari ini.

Sementara itu dalam satu sidang akhbar, Ketua Polis Johor M Kumar berkata kanak-kanak berkenaan ditemui bersama seorang suspek lelaki di sebuah hotel bajet.

“Mangsa berjaya diselamatkan awal pagi tadi dan suspek ditahan di Batang Kali.

“Tangkapan dibuat kira-kira jam 4 pagi. Mangsa selamat, dan suspek telah dibawa ke Johor untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dipetik sebagai berkata.

Suspek, lelaki tempatan berusia 31 tahun, didapati tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga mangsa.

Mangsa telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Albertine dilaporkan hilang kira-kira 8.30 malam Sabtu semasa perayaan Bon Odori Jepun di Eco Galleria di Johor Baru.

Awal hari ini, M Kumar berkata dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 dan 55 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari di kawasan Iskandar Puteri semalam bagi membantu siasatan.– 23 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen