Polis lanjut reman suspek kes Albertine Leo


POLIS akan memohon melanjutkan tahanan reman ke atas suspek lelaki berusia 31 tahun kes penculikan Albertine Leo berusia enam tahun di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri selepas tamat tempoh hari ini, lapor Bernama.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, lanjutan reman suspek yang ditahan bersama Albertine di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor, adalah selama tujuh hari mulai esok hingga 5 Ogos.

“Permintaan itu akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap lelaki tempatan yang ditahan berhubung kes penculikan kanak-kanak di Eco Galleria pada 20 Julai lalu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Albertine hilang pada 20 Julai.

Polis kemudian menahan empat suspek – dua lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 55 tahun – yang dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat lalu.

Kanak-kanak itu ditemui selamat bersama suspek kelima di sebuah hotel bajet di Batang Kali pada 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Pada 25 Julai, dilaporkan bahawa keluarga Albertine tidak mempunyai hubungan dengan lima suspek yang ditahan. – 29 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen