SURAT representasi Lim Guan Eng bagi penarikan balik kes rasuahnya yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang telah ditolak oleh Peguam Negara, mahkamah didengar hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenai penolakan surat representasi itu.
“Kami menerima representasi itu pada 28 Jun. Ia ditolak dua hari kemudian,” kata pendakwa raya kepada hakim perbicaraan Azura Alwi, lapor Malaysiakini.
Perbicaraan kini akan diteruskan pada 8 Ogos.
Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang, menghadapi perbicaraan atas empat pertuduhan rasuah membabitkan rancangan pembinaan terowong dasar laut negeri pulau itu dan projek jalan berpasangan yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.
Dia didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu bagi pertuduhan pertama memperoleh RM3.3 juta suapan monetari sebagai dorongan untuk melantik syarikat Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, Consortium Zenith Construction, untuk melaksanakan projek bernilai RM6,341,383,702.
Lim, juga bekas menteri kewangan, didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Pertuduhan kedua berkaitan dia didakwa meminta Zarul 10% keuntungan sebagai ganjaran membantu syarikatnya mendapatkan projek itu.
Ahli Parlimen Bagan itu berdepan dua lagi pertuduhan melupuskan dua bidang tanah milik kerajaan Pulau Pinang secara tidak jujur di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM208 juta kepada pemaju projek terowong itu, yang didakwa berlaku di Pejabat Tanah dan Galian Negeri di Komtar pada 17 Feb, 2015, dan 22 Mac 2017. – 19 Julai, 2024.
Komen