Persengketaan Guan Eng-Kon Yeow beri kelebihan kepada Perikatan, kata Ramasamy


P. Ramasamy berkata permusuhan berlanjutan antara Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow akan memudaratkan potensi masa depan Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April 2024.

Pemimpin DAP Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow perlu mengetepikan persengketaan mereka dan mula bekerjasama untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan utama, kata bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P. Ramasamy.

Ramasamy keluar dari DAP selepas tidak memihak kepada dua pemimpin berkenaan.

“Chow dan Lim bukanlah kawan terbaik di dunia tetapi sudah tentu demi kepentingan Pulau Pinang mereka harus duduk bersama untuk berfikir secara bijak tentang potensi masa depan Pulau Pinang.

“Sekiranya tiada sebarang gangguan yang sihat, permusuhan antara kedua-duanya akan berlanjutan sehingga memudaratkan dan mencederakan potensi masa depan Pulau Pinang.

“Pertelingkahan yang berterusan adalah sesuatu yang akan memberi kelebihan kepada PN untuk mengambil alih Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke tidak mempunyai kekananan, pengalaman dan keberanian untuk menyelesaikan konflik antara kedua-dua pemimpin parti itu.

Lim ialah pengerusi DAP manakala Chow mengetuai bahagian negeri. Chow menggantikan Lim sebagai ketua menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya umum 2018.

Hubungan Lim dengan Chow renggang menyebabkan ramai yang membuat spekulasi bekas ketua menteri itu mahu jawatan itu diganti dengan orangnya.

Awal hari ini Lim menyoal Chow berhubung kehilangan projek reka bentuk litar bersepadu (IC) Pulau Pinang kepada Selangor sambil menambah ini akan menyebabkan syarikat teknologi memilih untuk melabur di Selangor.

Lim berkata Pulau Pinang kehilangan tag hab berteknologi tingginya.

Sebagai tindak balas Chow berkata Pulau Pinang akan terus menarik pelaburan asing dan tempatan ke negeri ini.

Ramasamy berkata adalah tidak menghairankan Pulau Pinang kehilangan projek reka bentuk IC kepada Selangor sambil menambah negeri itu “mungkin kehilangan kelebihan daya saingnya kerana kepimpinan yang tidak berimaginasi”.

Beliau berkata Chow bukanlah seorang pemimpin yang agresif seperti Lim dan ketua menteri itu terlalu bergantung kepada penjawat awam yang tidak imaginatif.

Ramasamy memberi amaran Pulau Pinang boleh kehilangan lebih banyak kepada negeri lain jika kepimpinan kekal terperangkap dalam keselesaan birokrasi. – 26 April 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen