Mahkamah benar peguam Guan Eng dapatkan salinan kenyataan saksi utama


Lim Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan beliau sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2024.

MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini membenarkan sebahagian pernyataan saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan terowong dasar laut Pulau Pinang diserahkan kepada pembelaan bagi prosiding mencabar kredibiliti saksi. 

Dokumen itu adalah salinan pernyataan bekas pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli untuk digunakan oleh pembelaan yang sebelum ini dibenar memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi itu.

Ia bagi menentukan sama ada wujud percanggahan kenyataan Zarul Ahmad yang direkod oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam kes ahli perniagaan G. Gnanaraja di Mahkamah Shah Alam dengan kenyataan saksi itu di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Pada prosiding hari ini, Hakim Azura Alwi berkata mahkamah berpuas hati dan memutuskan 31 daripada 108 muka surat pernyataan Zarul Ahmad yang relevan dengan kes ini dibenarkan untuk diserah kepada pembelaan bagi memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi itu.

“Pernyataan yang relevan itu melibatkan muka surat lima hingga 14, 23 hingga 27, 52 hingga 53, 69 hingga 72 dan 99 hingga 108,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian memohon masa selama dua minggu untuk menyerahkan dokumen itu kepada pembelaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan dokumen itu diserah sebelum 17 Januari ini iaitu sebelum prosiding mencabar kredibiliti saksi berlangsung pada 26 dan 27 Februari.

Peguam RSN Rayer pula memaklumkan mahkamah terdapat perkembangan baharu dalam kes tersebut iaitu Gobind Singh Deo tidak lagi mewakili Lim susulan pelantikan beliau sebagai menteri Kabinet.

“Kami memerlukan masa untuk meneliti dan membuat persiapan bagi prosiding mencabar kredibiliti,” katanya.

Sebelum ini, Azura mengarahkan salinan rakaman percakapan Zarul Ahmad dikemukakan kepada mahkamah terlebih dahulu untuk diteliti dan dibaca sebelum diserah kepada pembelaan.

Lim, 60, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan beliau sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – Bernama, 9 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen