Polis sahkan terima 2 laporan terhadap Siti Mastura


Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad mendakwa Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin PKM, Chin Peng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

POLIS mengesahkan menerima dua laporan terhadap ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad berhubung dakwaannya yang mengatakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Mohd Asri Shafie ketika dihubungi berkata laporan itu termasuk yang dibuat sekumpulan individu daripada Kelab DAP Veteran Kebangsaan Sabtu lalu.

“Ya. Saya sahkan dua laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah SPU setakat ini.

“Bagaimanapun, rakaman keterangan akan dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam kenyataan memaklumkan janji temu untuk proses merakam keterangan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu dijadualkan semula pada jam 11 pagi esok di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Razarudin berkata setakat hari ini enam laporan polis sudah diterima berkait kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura pada majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, didakwa mengaitkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng sebagai sepupu Chin Peng.

Pada Jumaat lalu, Guan Eng memaklumkan beliau melalui peguamnya sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas tempoh 48 jam yang diberikan kepada pemimpin wanita PAS itu membuktikan dakwaannya tamat sehari sebelumnya. – Bernama, 13 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen