Guan Eng gesa pendirian terbuka Perikatan berhubung fitnah Siti Mastura


Pengerusi DAP Lim Guang Eng sudah mengarahkan peguamnya untuk mendakwa Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad berhubung fitnah terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2023.

LIM Guan Eng mahu pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) menyatakan pendirian mereka secara terbuka berhubung pembohongan dan fitnah Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad terhadap DAP dan pemimpinnya.

Lim yang merupakan pengerusi DAP dan ahli Parlimen Bagan berkata Siti Mastura menggunakan ucapannya pada satu majlis di Kemaman pada 4 November dengan membuat cerita mengenai hubungan kekeluargaan yang tidak wujud untuk menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina.

Beliau berkata ini jelas bersifat perkauman dan ekstremis, sambil menambah sudah mengarahkan peguamnya untuk mendakwa pemimpin PAS itu.

“Apa yang membuatkan tindakan tidak bertanggungjawab Siti Mastura lebih tidak boleh diterima ialah tiada penyesalan yang beliau telah membuat ucapan kebencian yang penuh dengan pembohongan keterlaluan, perkauman dan ekstremis.

“Beliau enggan menunjukkan bukti hubungan keluarga seperti didakwa itu atau menarik balik/memohon maaf atas pembohongan keterlaluan dan fitnah jahatnya,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Katanya, apa yang lebih penting, penyokong PAS terus menyokong dan memuji Siti Mastura tanpa peduli beliau berbohong dan membuat kenyataan berbaur perkauman dan ekstremis terhadap pemimpin DAP.

“Atas sebab ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mesti menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka bersama dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat Siti Mastura, atau tidak bersetuju dengannya sehingga memerlukan beliau membetulkan tindakannya,” katanya.

Dalam ucapannya yang berdepan kritikan teruk daripada banyak pihak, Siti Mastura antara lain berkata keluarga Lim mempunyai kaitan dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng serta mendiang perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Siti Mastura menyebut Lee Kuan Yew sebagai “Lim” Kuan Yew untuk menyokong dakwaannya yang mereka semua mempunyai kaitan kekeluargaan.

Beliau juga berkata beberapa pemimpin DAP turut mempunyai kaitan dengan keluarga Lim. – 10 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen