Pulau Pinang berisiko hilang pelaburan teknologi tinggi, kata Guan Eng


Lim Guan Eng beri amaran kepada Pulau Pinang kemungkinan pelabur beralih arah ke Selangor susulan projek reka bentuk litar bersepadu yang bakal dibangunkan di sana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2024.

BEKAS ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melahirkan kebimbangan negeri itu kehilangan pelaburan berteknologi tinggi, dengan berkata penggantinya mesti lebih proaktif dalam menarik pelabur.

Menujukan kenyataannya kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Lim berkata pemimpin itu mesti menjelaskan kehilangan sekurang-kurangnya satu pelaburan terbaik itu kepada Selangor.

Beliau merujuk kepada projek reka bentuk litar bersepadu (IC) bernilai jutaan ringgit yang kini bakal dibangunkan di Selangor.

“Pulau Pinang sepatutnya bersaing untuk projek itu dari mula,” Lim dipetik sebagai berkata dalam Free Malaysia Today, sambil menegaskan negeri itu adalah hab teknologi serantau.

Beliau menggesa Chow menjalankan siasatan untuk mengetahui punca Pulau Pinang terlepas peluang itu.

“Pulau Pinang sepatutnya membelanjakan wang untuk menarik pelabur,” katanya.

“Saya diberitahu kerajaan Selangor menjanjikan RM65 juta untuk projek itu dan menerima RM60 juta lagi dana persekutuan,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Lim yang merupakan pengerusi DAP, berkata pemodal teroka yang terlibat dalam projek itu menjanjikan RM75 juta lagi bagi pusat itu.

“Ini ialah pelaburan penting dalam bidang digital, internet kebendaan (IoT) dan (keupayaan) teknologi kecerdasan buatan kita untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang sepatutnya berjaya menarik pelabur memandangkan ekosistemnya sesuai untuk hab reka bentuk IC.

“Ini juga akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan,” tambahnya.

Beliau memberi amaran mengenai kemungkinan perpindahan pelaburan syarikat teknologi yang berpangkalan di Pulau Pinang ke Lembah Klang di mana hab reka bentuk IC utama sedang dibangunkan.

Baru-baru ini, Selangor mengumumkan akan membina taman reka bentuk IC di Bandar Puteri, Puchong. Kerja-kerja projek itu dijangka bermula pada Julai.

Syarikat teknologi seperti ARM Limited dan Phison Malaysia komited menubuhkan operasi di taman itu, yang disebut-sebut sebagai terbesar di Asia Tenggara.

Sebagai respons, Chow berkata Pulau Pinang bersedia untuk integrasi yang lebih dalam rantaian bekalan cip global.

Beliau berkata Pulau Pinang bersedia untuk bekerjasama dengan Selangor untuk pertumbuhan ekonomi bersama.

“Pulau Pinang, dengan kepakaran dalam sektor pembuatan yang dibina selama lima dekad, telah menjadi ‘magnet semula jadi’ bagi pembuatan cip ‘back-end,” katanya.

Hubungan antara Lim dan Chow dilaporkan renggang sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Khabar angin menyatakan bekas ketua menteri itu mahu menggantikan Chow dengan orangnya.

Baru-baru ini, Lim juga secara terbuka mengkritik kerajaan negeri berhubung beberapa isu, termasuk gangguan air biasa. – 26 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen