Pulau Pinang terima 1 juta pengunjung sempena Thaipusam


Lebih sejuta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam yang akan disambut pada Khamis ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2024.

LEBIH sejuta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang minggu depan sempena perayaan Thaipusam yang akan disambut pada Khamis ini.

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang, RSN Rayer berkata sambutan tiga hari bermula Rabu ini turut membawa kelainan apabila buat julung kalinya kedua-dua pedati iaitu pedati emas dan pedati perak akan berarak bersama ke kuil di Jalan Kebun Bunga, sebagai tanda perpaduan.

“Kami menggelarkan Thaipusam kali ini sebagai ‘Thaipusam Perpaduan’ kerana ini kali pertama kedua-dua pedati akan bergerak hampir bersama-sama, iaitu hanya kira-kira 1 kilometer antara satu sama lain dan berharap dapat sampai ke kuil pada jam 11 malam.

“Kami juga akan cuba mengkoordinasikan pergerakan lebih cepat kerana tidak mahu berlaku seperti beberapa tahun lalu yang mana perarakan mengambil masa selama hampir 24 jam untuk sampai ke kuil disebabkan kelewatan pedati emas,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang mengadakan lawatan program Kesuma Madani sempena sambutan Thaipusam di Kuil Waterfall Hill di Jalan Kebun Bunga, Pulau Pinang.

Katanya, sebanyak 150 ‘thaneer panthal’ atau khemah pengedaran makanan dan minuman percuma turut didirikan di sepanjang laluan perarakan ke kuil.

Rayer berkata, pedati emas akan bergerak dari kuil di Lebuh Queens pada jam 5.30 pagi, Rabu ini diikuti pedati perak sejam kemudian dari kuil di Lebuh Penang dengan kedua-dua pedati akan kembali ke kuil masing-masing pada Jumaat ini.

Rayer dalam pada itu berkata, Thaipusam bukan sahaja disambut oleh penganut Hindu tetapi turut diraikan bangsa lain seperti Cina selain menjadi tumpuan pelancong asing.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada mereka yang terbabit supaya tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan upacara keagamaan itu seperti meminum minuman beralkohol atau menyalakan mercun.

“Kami juga merayu supaya jangan parkir kenderaan sesuka hati kerana ia boleh menimbulkan masalah sekiranya berlaku kecemasan dan untuk lebih mudah boleh gunakan kenderaan awam kerana kerajaan juga sebelum ini mengumumkan memberi perkhidmatan bas dan feri secara percuma sempena Thaipusam,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menyarankan pemakaian pelitup muka terutama bagi mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas selain menggalakkan mereka untuk datang lebih awal bagi melakukan upacara keagamaan. – Bernama, 21 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen