Kerja ganti injap selesai, pemulihan air P Pinang bermula


Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang berkata semua kerja penggantian dua unit injap kawalan yang bocor di LRA Sungai Dua siap lebih awal daripada jadual ditetapkan semalam. – Gambar Facebook, 11 Januari, 2024.

KERJA-kerja penggantian dua unit injap kawalan 1.2 meter (m) yang bocor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, George Town dan penyelenggaraan pencegahan di 22 lokasi lain telah siap sepenuhnya malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K Pathmanathan berkata semua kerja terbabit siap lebih awal daripada jadual ditetapkan semalam serta satu pelan pemulihan bekalan air telah bermula pada 11 malam tadi.

“Bekalan air dinormalisasi secara berperingkat hari ini untuk 197,025 pengguna air iaitu 33% daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan peringkat satu pelan pemulihan perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada 6 pagi esok (Jumaat) seperti dijadualkan.

“Pemulihan peringkat satu tidak terjejas dengan kejadian di Sungai Perai kerana LRA Sungai Dua sedang mengepam air kepada pengguna pemulihan tahap satu melalui saluran paip utama yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peringkat dua dijangka dilaksanakan bermula 6.01 pagi esok dengan pada peringkat itu, PBAPP menyasarkan untuk menormalkan perkhidmatan bekalan air untuk 495,065 pengguna iaitu 84% daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan bahagian Pulau.

Pathmanathan berkata kejayaan peringkat dua seperti yang dijadualkan, bergantung kepada pengoperasian semula bahagian yang rosak pada saluran paip bawah air Sungai Perai.

Menurut Pathmanathan PBAPP sedang berusaha keras untuk menyiapkan kerja-kerja pembaikan kecemasan Sungai Perai hari ini dan akan terus memberikan maklumat terkini tentang kemajuan kerja.

“Kerja-kerja sedang dijalankan di Sungai Perai selepas tertangguh malam tadi kerana masalah teknikal iaitu satu daripada pengapit yang direka khas untuk diletakkan di atas lubang sepanjang 1.35m pada saluran paip tidak dapat dipasang dengan betul,” katanya.

Beliau berkata operasi menyelam ditangguhkan dan kren berat dibawa masuk serta digunakan untuk mengangkat pengapit yang tidak sesuai untuk pengubahsuaian di tapak.

“Perkara ini adalah penyelesaian kejuruteraan terpantas dengan risiko paling rendah untuk kelewatan yang lama dan pasukan selam komersial dijadualkan mengunci pengapit yang diubah suai pada tempatnya pada saluran paip yang rosak hari ini,” katanya.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi semalam hingga 6 pagi 14 Jan bagi membolehkan kerja penggantian dua unit injap di LRA Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.

PBAPP bagaimanapun menjangkakan sekurang-kurangnya 101 kawasan di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah (SPT) akan menerima bekalan air selepas 48 jam manakala 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selelas 72 jam. – Bernama, 11 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen