PENGERUSI DAP Lim Guan Eng menyalahkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamed kerana tidak menunaikan janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto mereka selepas memenangi pilihan raya umum 2018.
Sebagai bekas menteri kewangan semasa kali kedua Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Lim berkata bahawa beliau dapat bersama-sama disebelah beliau (Dr Mahathir) untuk menyampaikan manifesto pilihan raya umum PH.
“Malang sekali apabila beliau mula menghina tekad dan janji manifesto tersebut secara terbuka dan kemudiannya terang-terangan mengingkari hampir setiap janji pilihan raya utama yang dibuat oleh PH.
“Bermula dengan kenyataan bahawa Manifesto Pilihan Raya PH bukanlah ‘kitab suci’, kepada menentang janji-janji utama secara terbuka seperti pengurangan tol lebuh raya, pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2018 lantas menjelma menjadi medan pertempuran sengit setiap hari. Pertembungan jelas antara mereka yang ingin melaksanakan janji-janji pilihan raya dengan barisan pembuli yang diketuai oleh Timbalan Presiden PKR ketika itu dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
“Tidak hairanlah populariti PH jatuh merudum apabila beliau beria-ia menentang sekutu sendiri sama seperti serangan terhadap lawan politiknya,” kata Lim menerusi Facebook.
Lim mengulas mengenai buku Romen Bose “Shattered Hopes” mengenai politik pasca 2018 di Malaysia yang mendedahkan pandangan Dr Mahathir yang penuh dengan separuh kebenaran dan kepalsuan.
“Umum sudahpun kenal dengan sikap Dr Mahathir, seorang yang pakar dalam memilih gambaran terbaik buat beliau semata-mata.
“Mudah untuk kita mengaitkan kepincangan maklumat tersebut dek kerana nyanyuk dalam usia lanjut beliau, namun atas cita-cita dan azam tinggi serta motivasi politik membalas dendam yang telah dipamerkan memaksa saya menulis dan memperbetulkan kenyataan tersebut.”
Lim juga berkata Dr Mahathir secara terbuka mengancam untuk memecatnya tiga kali semasa mesyuarat Kabinet.
“Beliau juga secara terbuka marah dengan desakan berterusan saya untuk mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan sebanyak 18%, biarpun ditentang keras olehnya.
“Beliau juga menentang tindakan saya bagi melaksanakan tender terbuka untuk perolehan kerajaan dan memberi peruntukan pembangunan kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan.
“Walaupun beliau memberikan tentangan, saya berjaya melobi majoriti anggota Kabinet untuk bersetuju dengan cadangan-cadangan ini lantas menimbulkan kekecewaan di dalam dirinya,” katanya.
Beliau juga berkata Dr Mahathir terkejut dengan penentangannya terhadap hasrat untuk mengharamkan Umno sebagai parti politik.
“Biarpun kita menentang Umno ketika itu, saya berpandangan hal ini adalah jelas bertentangan dengan hak asasi iaitu kebebasan untuk berpersatuan.
“Umno tidak pernah mengharamkan DAP atau PKR semasa kita menjadi pembangkang dan saya berpandangan pengharaman tersebut bakal menyebabkan kita dilihat jauh lebih teruk daripada Umno sekiranya dilaksanakan oleh beliau.
“Saya mendedahkan isu ini kepada Anwar Ibrahim dan kami berjaya memaksa Dr Mahathir untuk melupakan hasrat dan idea tersebut.”
Lim menambah Dr Mahathir juga marah dengan peranan yang dimainkan oleh bekas ahli Parlimen DAP Damansara Tony Pua sebagai setiausaha politiknya.
“Beliau berkali-kali memberikan bayangan untuk saya memecat Sdr Tony Pua. Saya enggan tunduk kepada desakan tersebut dan menjelaskan bahawa saya juga akan meletakkan jawatan sekiranya Dr Mahathir memaksa pemecatan tersebut.” – 25 Jun, 2024.
Komen