Dr Mahathir mahu prosiding terbuka RCI Batu Puteh


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam afidavit sokongannya menyatakan keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang ramai adalah tidak munasabah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2024.

DR Mahathir Mohamad memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengendalikan isu berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Dalam afidavit sokongannya, bekas perdana menteri itu berkata keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang ramai adalah tidak munasabah.

Beliau menamakan Pengerusi RCI Md Raus Sharif dan timbalannya Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI Baljit Singh Sidhu, Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Faridah Jalil, Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Hai Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Dalam permohonan itu, Dr Mahathir memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Beliau juga memohon perintah untuk melarang Md Raus daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan menghalang Dr Baljit dan Mohammed Ridha daripada menjadi ahli RCI.

Dr Mahathir berkata pelantikan Md Raus sebagai pengerusi RCI menimbulkan “bahaya berat sebelah” disebabkan permusuhan sedia ada antara Md Raus dan dirinya, yang boleh menjejaskan kesaksamaan Md Raus dalam membuat keputusan untuk prosiding RCI.

Sementara itu, peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata usul tergempar juga telah difailkan untuk mempercepatkan perbicaraan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas).

RCI telah memanggil Dr Mahathir untuk menghadiri prosiding pada 12 Jun. – 6 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen