Kerajaan bantah kenyataan Dr Mahathir terhadap kaum India 


KERAJAAN membantah keras kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Anwar berkata sebagai bekas Perdana Menteri yang sudah berkhidmat sekian lama, tidak sepatutnya kenyataan seumpamanya dilemparkan baik terhadap masyarakat India mahupun mana-mana kaum di negara ini. 

“Kenyataannya tidak berasas langsung tapi itulah dia… Melayu itu bagi dia malas melainkan diri dia… India dan Cina dianggap kurang setia kecuali beberapa kroni dia.

“Kita harus hormati hak semua kaum, majoriti atau minoriti, hak rakyat dan kita harus mendakap seluruh kekuatan rakyat menuju soal pokok, bukan begini yang bagaikan bertujuan nak alih pandangan rakyat bila kita nak banteras rasuah dan soal tatakelola,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata tindakan seorang mantan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman hanyalah satu bentuk pemikiran lapuk yang boleh merosakkan negara.

Baru-baru ini, Dr Mahathir dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran televisyen satelit India Thanthi TV mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih terikat dengan negara asal mereka. – Bernama, 16 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen