DAP ikhlas bekerjasama dengan Dr Mahathir, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti itu ikhlas bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dan bukan semata-mata menggunakan pemimpin itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2023.

DAP ikhlas bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dan bukan semata-mata menggunakan pemimpin itu, kata Anthony Loke.

Setiausaha Agung parti itu menegaskan matlamat mereka bukan hanya untuk menjatuhkan Barisan Nasional ketika itu tetapi untuk membawa perubahan kepada negara.

“Kami (DAP) ikhlas bekerjasama dengan harapan Mahathir telah berubah.

“Matlamatnya bukan sahaja untuk menjatuhkan pentadbiran Najib Razak tetapi juga untuk membawa pembaharuan,” katanya dipetik portal berita Free Malaysia Today selepas satu majlis di ibu negara pagi ini.

Dalam siri podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, Dr Mahathir berkata beliau sanggup bekerjasama dengan musuh ketat DAP sebelum kemenangan pilihan raya pada 2018 kerana mereka berkongsi matlamat yang sama untuk menjatuhkan Najib Razak.

Pemimpin berusia 98 tahun itu berkata keputusan untuk bekerjasama dengan DAP ditentukan oleh objektif tertentu.

“Musuh musuh anda ialah kawan anda,” kata bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Kami menetapkan matlamat dan kami menetapkan cara untuk mencapai matlamat. Orang menuduh saya menggunakan DAP, tetapi DAP menggunakan saya juga untuk berkuasa.

“Mereka memerlukan majoriti dan saya memerlukan majoriti. Jika saya tidak mendapat majoriti, saya tidak boleh mengalahkan Najib.

“Antara Najib Razak dan DAP, saya memilih DAP kerana Najib adalah musuh,” katanya semasa podcast “Keluar Sekejap”. – 14 November 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen