Dr Mahathir gagal mohon semakan kehakiman RCI Batu Puteh


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad gagal memulakan permohonan semakan kehakiman berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2024.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad gagal memulakan permohonan semakan kehakiman berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir memohon penarikan balik pengerusi RCI Md Raus Sharif dan pesuruhjaya Dr Baljit Singh Sidhu dan Mohammed Ridha Abdul Kadir, atas dakwaan konflik kepentingan.

Bekas perdana menteri itu juga meminta agar prosiding itu terbuka kepada orang ramai dan beliau dibenarkan untuk menghadirkan peguamnya ketika memberi keterangan.

Hakim Amarjeet Singh Serjit Singh dalam menyampaikan keputusan itu berkata Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Dr Mahathir untuk menarik balik Raus Sharif dan dua yang lain daripada panel RCI Batu Puteh.

Beliau juga menolak permohonan bekas perdana menteri untuk pendengaran awam RCI dan permohonan untuk menangguhkan pendengaran RCI sementara menunggu pelupusan semakan kehakimannya.

Bagaimanapun, beliau membenarkan Dr Mahathir meneruskan satu bahagian semakan kehakiman, iaitu peguamnya hadir semasa RCI.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), manakala Zainur Zakaria, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nizam Bashir mewakili Dr Mahathir.

Minggu lalu, Dr Mahathir memfailkan sijil kesegeraan memohon pendengaran cepat permohonannya.

Beliau juga berkata pelantikan Raus adalah satu pelanggaran berat terhadap keadilan semula jadi kerana beliau adalah pihak yang berkepentingan.

Dr Mahathir memfailkan semakan kehakiman pada 2017 untuk mencabar kesahihan Raus kekal sebagai ketua hakim negara sehingga 2020, selepas beliau dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan selepas mencapai umur persaraan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada 14 Februari tahun ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berkenan kepada penubuhan RCI dan pelantikan tujuh anggota RCI.

Yang di-Pertuan Agong jugamemperkenankan Raus mengetuai RCI untuk melihat mengapa Malaysia menggugurkan tuntutan wilayahnya ke atas Pulau Batu Puteh. – 12 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen