Kaji semula syarat skim MM2H, kata MP Kepong


Malaysia kekal sebagai destinasi MM2H yang menarik, terutamanya dengan kos sara hidup yang lebih rendah, budaya yang pelbagai dan mesra, gaya hidup santai dan keupayaan untuk memiliki hartanah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2024.

KERAJAAN digesa membuat semakan semula peraturan baharu bagi skim visa Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang tidak produktif dan hanya menarik individu yang bernilai tinggi, kata ahli Parlimen Kepong.

Lim Lip Eng berkata skim itu berisiko hilang tarikannya berikutan peraturan baru yang ketat.

Beliau menambah bahawa garis panduan terkini yang mewajibkan pembelian hartanah dan memerlukan memegangnya sekurang-kurangnya 10 tahun boleh menyebabkan penurunan minat yang ketara dalam kalangan bakal pemohon.

Beliau juga menyatakan pakar industri dan ahli ekonomi juga menyuarakan kebimbangan mengenai garis panduan baharu ini.

Pada 14 Jun, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing mengumumkan kategori tiga peringkat baharu untuk pemohon MM2H – Platinum, Emas dan Perak.

Kategori Platinum memerlukan deposit tetap sebanyak AS$1 juta, kategori Emas AS$500,000, dan kategori Perak AS$150,000, berserta dengan pembelian hartanah sekurang-kurangnya RM600,000.

Pemohon juga tidak boleh menjual hartanah selama 10 tahun.

“Walaupun pengenalan pelaburan hartanah mandatori boleh dilihat sebagai langkah positif untuk merancakkan sektor hartanah, keperluan untuk memegang hartanah ini sekurang-kurangnya 10 tahun terbukti menjadi penghalang yang ketara dan tidak produktif.

“Ketegaran ini menjadikan skim ini kurang menarik berbanding pilihan lebih fleksibel yang terdapat di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

“Agensi memproses permohonan MM2H melaporkan penurunan minat yang mendadak, dengan penurunan 90% dalam calon pemohon,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Beliau berkata di bawah skim MM2H sebelum ini, pemohon menikmati lebih fleksibiliti dengan ambang kewangan yang lebih rendah.

Skim lama memerlukan deposit bank sebanyak RM300,000 untuk mereka yang berumur di bawah 50 dan RM150,000 untuk mereka yang ke atas, tanpa pembelian hartanah mandatori.

“Pendekatan ini menarik kumpulan pesara dan ekspatriat yang pelbagai, menyumbang RM58 bilion kepada ekonomi tempatan dalam tempoh 17 tahun.

“Walaupun fokus skim baharu itu kepada individu yang bernilai tinggi mewakili peralihan dasar, syarat ketatnya telah mengecilkan kumpulan pemohon dengan ketara,” katanya.

Beliau juga menegaskan ahli ekonomi telah berhujah bahawa peraturan MM2H baharu menawarkan faedah ekonomi yang terhad kerana sifatnya yang menyekat.

Pembelian hartanah wajib itu tidak mungkin meningkatkan pasaran perumahan seperti yang diharapkan dan mungkin menyebabkan banyak unit tidak terjual atau tidak disewa, seperti yang diketengahkan oleh sebuah badan penyelidikan ekonomi, tambah beliau.

“Skim MM2H perlu mencapai keseimbangan antara menarik individu bernilai tinggi dan menyediakan fleksibiliti untuk menjadikan Malaysia destinasi persaraan yang diingini.

“Menilai semula keperluan pegangan 10 tahun boleh menjadi langkah penting dalam memulihkan minat dan memastikan kejayaan skim itu,” tambah Lim.

Sementara itu, ejen untuk MM2H melihat peningkatan minat dalam program itu dengan majoriti datang dari China dan Taiwan selepas garis panduan baharu itu diumumkan, lapor The Star hari ini.

Mereka dilaporkan berkata Malaysia kekal sebagai destinasi MM2H yang menarik, terutamanya dengan kos sara hidup yang lebih rendah, budaya yang pelbagai dan mesra, gaya hidup santai dan keupayaan untuk memiliki hartanah.

Lokasi yang popular untuk pemohon ini ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Bagaimanapun, ejen itu juga memberi amaran bahawa pembelian hartanah mandatori, terutamanya tempoh pegangan 10 tahun, boleh menjadi komitmen kewangan yang ketara, dan seterusnya boleh menjadi faktor penghalang.– 30 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen