KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) telah meluluskan 1,136,022 kuota penggajian pekerja asing setakat 18 Mac tahun ini, kata menterinya V Sivakumar.
Menurut beliau permohonan paling tinggi diluluskan adalah daripada sektor perkilangan.
“Kelulusan kuota bagi sektor perkilangan sebanyak 469,106, pembinaan (359,899), perkhidmatan (171,490), perladangan (85,678), pertanian (49,473), dan perlombongan dan pengkuarian (376),” katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.
Lim meminta KSM menyatakan berapa kuota pekerja asing yang diluluskan tahun ini.
Sivakumar yang juga ahli Parlimen Batu Gajah berkata, Jemaah Menteri melalui mensyuarat Kabinet pada 17 Mac lalu bersetuju untuk menangguhkan permohonan dan kelulusan kuota penggajian pekerja asing.
Ini termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bermula 18 Mac sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, katanya.
“Dalam hal ini, fokus diberikan kepada proses kemasukan pekerja asing oleh pihak majikan yang terlibat bagi kuota pekerja asing yang telah diluluskan.”
KSM juga memberi tumpuan kepada pelaksanaan penguatkuasaan ke atas pematuhan standard perburuhan oleh para majikan bagi memastikan kepentingan dan reputasi negara tidak terjejas. – 16 Jun 2023.
Komen