Biarkan media jalankan tugas mereka, kata ahli Parlimen Kepong kepada Hadi


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengingatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang agar membiarkan media menjalankan tugas mereka dalam melaporkan salah laku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2024.

BIAR media menjalankan tugas mereka dalam melaporkan salah laku, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengingatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini.

Ahli Parlimen DAP itu menjawab kenyataan Hadi yang menuduh media mencemarkan imej Islam dengan menulis mengenai kes maksiat di sekolah agama.

“Tuduhan Hadi adalah tidak adil kerana majoriti media di negara ini hanya menjalankan tugas untuk menyampaikan berita yang disahkan kepada rakyat.

“Juga, pendedahan jenayah boleh menghalang lebih ramai orang, terutamanya kanak-kanak, daripada menjadi mangsa jenayah,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa, Hadi mendakwa media digunakan untuk memburuk-burukkan imej Islam dengan membangkitkan kelemahan orang yang beragama apabila mereka dituduh melakukan jenayah atau perbuatan tidak bermoral.

“Apabila berlaku kelemahan manusia pada diri segelintir kumpulan Islam yang terjerumus ke dalam kesalahan moral atau jenayah, maka akan dibesar-besarkan beritanya.

“Sekiranya terdapat berita dari sekolah agama, pondok, sekolah tahfiz ataupun seorang ustaz, imam, orang yang berkopiah, apalagi mereka yang berjubah, ada yang sengaja diletakkan kopiah atau jubahnya, atau dipakaikan jilbab wanitanya.

“Keadaan ini laksana peribahasa, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.

“Walaupun dalam lapangan yang sebenar, mereka yang tidak berpendidikan agama dan tidak beragama pula macam binatang yang tidak terkira banyaknya melakukan kejahatan, tetapi disembunyikan atau ditutup dan dibela, kerana mereka itulah bala tentera iblis dan syaitan,” kata ahli Parlimen Marang itu menerusi Facebook.

Lim juga mempersoalkan sama ada PAS membenarkan jenayah seperti itu tidak dilaporkan apabila parti Islam itu adalah sebahagian daripada pentadbiran sebelum ini.

“Adakah Hadi atau PAS melindungi dan membenarkan pelaku sedemikian, tanpa mengira kedudukan agama mereka, meneruskan kegiatan jenayah mereka?” soalnya. – 30 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen