Ahli Parlimen Kepong dapat tangguh bayar ganti rugi RM2 juta 


Mahkamah Tinggi pada 16 Mac memerintahkan Lim Lip Eng membayar ganti rugi RM2 juta kepada MonSpace dan pengasasnya Jessy Lai Cha Suang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2023.

AHLI Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini dapat menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi supaya beliau membayar ganti rugi RM2 juta dalam saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Jessy Lai Cha Suang.

Peguam S.N Nair, yang mewakili Lim memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang perayu (Lim) dan responden mencapai persetujuan agar penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Mac digantung sementara menunggu penyelesaian rayuan Lim di Mahkamah Rayuan.

“Pihak terlibat juga bersetuju perayu harus mendepositkan jumlah penghakiman RM2 juta ke dalam akaun klien di atas nama peguam cara responden-responden iaitu Tetuan A J Ariffin, Yeo & Harpal sebagai pemegang taruh sehingga pelupusan rayuan dan jumlah itu akan diletakkan di dalam satu akaun simpanan tetap,” kata Nair.

Peguam Harpal Singh Grewal, yang mewakili MonSpace dan Lai mengesahkan perkara itu.

Perintah persetujuan itu direkodkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Kamaludin Md Said, Hashim Hamzah dan Wong Kian Kheong.

Pada 16 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lim membayar RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka. Lim kemudiannya memfailkan rayuan pada hari yang sama.

Pada 22 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Lim untuk penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebabkannya memfailkan permohonan penangguhan baharu itu di Mahkamah Rayuan.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lim pada Jun 2019, kerana mendakwa Lim mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina yang mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.

Lai berkata Lim membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir berkata mahkamah mendapati MonSpace dan Lai berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Lim kerana memfitnah dan kenyataan Lim juga jelas mencemarkan imej dan reputasi mereka. – Bernama, 29 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen