PUTRAJAYA patut mempertimbangkan visa ketibaan (VOA) untuk terus kekal berdaya saing dengan negara lain, ia juga akan merangsang industri pelancongan, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.
Katanya dengan membenarkan VOA kepada pelancong, Malaysia boleh bersaing lebih berkesan dengan negara jiran lain yang sudah menawarkan program visa percuma atau visa ketibaan itu.
“Keperluan semasa visa untuk pelancong dari negara seperti China dan India mencipta halangan tidak perlu untuk kemasukan, menghalang bakal pelawat daripada memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.
“Sudah terbukti yang negara hilang banyak perolehan daripada pelancong asing kerana mereka cenderung melawat negara yang membenarkan perjalanan bebas visa dengan kos rendah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Lim lagi, juga tidak masuk akal untuk memetik kebimbangan keselamatan sebagai sebab bagi memerlukan pelawat dari China dan India mendapatkan visa untuk melawat Malaysia yang sudah mempunyai hubungan mesra diplomatik dengan kedua-dua negara itu.
Dalam ucaptama di Forum Pelancongan Asean 2023 di Yogyakarta, Indonesia, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mencadangkan Malaysia mempertimbangkan VOA kepada semua untuk terus berdaya saing dengan industri pelancongan global.
Lim berkata selain menyemak semula keperluan visa, Malaysia juga boleh belajar daripada kejayaan strategi promosi industri pelancongan negara lain.
“Misalnya, kad pintar dan program baucar Taiwan adalah idea yang bijak sebagai insentif pelancong melawat negara mereka.
“Pendekatan ini membantu mengurangkan sebilangan kos dikaitkan dengan pelancongan, menjadikan ia lebih mampu milik dan mudah diakses untuk bakal pelawat.”
Katanya lagi, pihak berkuasa patut mempertimbangkan untuk melaksanakan program serupa bagi menarik pelancong asing.
“Ini termasuk memberikan diskaun atau baucar untuk penginapan di hotel, makan di restoran atau tarikan pelancongan.”
Tambahnya, sepatutnya tidak ada keengganan untuk belajar dan mengamalkan kejayaan negara lain yang berpotensi memberi manfaat kepada negara.
“Dengan belajar daripada program pelancongan lain yang berjaya dan terbuka kepada idea baharu, kita akan terus berkembang dan membangunkan industri pelancongan kita serta dapat memberikan pengalaman tidak mudah dilupakan kepada pelancong.” – 30 April, 2023.
Komen