Ahli Parlimen Kepong tanya jika PAS terpengaruh 'naratif palsu' DAP


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng ingin tahu jika PAS terpengaruh dengan 'naratif palsu' apabila memutuskan untuk bekerjasama dengan DAP dalam PR dan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2023.

APAKAH parti Islam PAS terpengaruh dengan “naratif palsu” apabila ia bekerjasama dengan DAP, soal Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Lim menjawab soalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang baru-baru ini mendakwa orang bukan Islam di negara ini dipengaruhi oleh DAP.

Lim dalam satu kenyataan bertanya sama ada PAS terpengaruh dengan “naratif palsu” bukan sekali tetapi dua kali apabila memutuskan untuk bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) dan kemudian dalam Pakatan Harapan (PH).

“Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat komen paling pelik apabila beliau menggesa orang bukan Melayu di negara ini supaya tidak terpedaya dengan ‘naratif palsu’ DAP.

“Daripada terus bermain politik perkauman, saya ingin meminta Hadi menjawab sama ada PAS turut terpengaruh dengan apa yang dikatakan ‘naratif palsu’, malah bukan sekali tetapi dua kali apabila bekerjasama dengan DAP,” soalnya.

PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR sebelum ini pada pilihan raya umum 1999 di bawah panji Barisan Alternatif.

Ia kemudian menjadi rakan kongsi dalam PR pada pilihan raya umum 2008 dengan gabungan itu menamatkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

PAS kemudiannya meninggalkan PR pada 2015 dengan beberapa pemimpin partinya menubuhkan Amanah.

“Biar saya ingatkan Hadi yang PAS adalah sebahagian daripada BN pada 1972 sebagai junior kepada Umno. Kerjasama ini membantu meningkatkan kemenangan PAS di 14 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 1974.”

“Sejarah mengatakan yang PAS meninggalkan Umno dan BN pada 1977. Pada tahun berikutnya (pilihan raya umum 1978), PAS dikurangkan kepada lima kerusi Parlimen sahaja. Malah hilang Kelantan selama 12 tahun sehingga 1990.”

“PAS ditinggalkan oleh pangkalan pengundi Melayunya sehingga pilihan raya umum 1999 pada kemuncak pergerakan Reformasi Anwar,” kata Lim.

Lim kemudian menggesa Hadi memberikan jawapan jujur jika PAS sedang menumpang parti politik lain untuk mencapai agenda politiknya sendiri. – 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen