Henti label bukan Islam kafir kalau mahu sokongan, Hadi diberitahu


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata sikap PAS pimpinan Abdul Hadi Awang yang sering menghamburkan gelaran kafir memberi persepsi buruk terhadap masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu di negara ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2023.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang dan parti pimpinannya perlu berhenti melabel orang bukan Islam sebagai kafir jika mahu menarik sokongan mereka, kata Lim Lip Eng.

Itu antara tiga saranan ahli Parlimen Kepong, yang menurutnya mampu membantu PAS meraih sokongan masyarakat bukan Islam .

Kata Lim, berkata sikap PAS yang sering menghamburkan gelaran kafir memberi persepsi buruk golongan itu di negara ini.

“Hadi Awang dan PAS perlu bersetuju bahawa terma tersebut hanya mendatangkan kesan buruk dan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas gesaan Hadi semasa muktamar tahunan PAS di Shah Alam semalam supaya parti itu menarik undi bukan Islam pula dalam usahanya menawan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam ucapan dasarnya semalam, Hadi berkata bedah siasat PAS mendapati parti itu lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu.

Mengulas lanjut kenyataan Hadi itu, Lim berkata beliau menyambut baik usaha presiden PAS itu untuk menarik golongan bukan Islam dan membuktikan bahawa ia bukanlah parti politik yang melampau.

Katanya penting bagi PAS untuk tampil sebagai parti politik yang menghormati hak-hak mereka yang bukan beragama Islam.

“Hadi Awang dan PAS perlu bersetuju dengan pandangan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya, seperti mana yang disyorkan dan diperakui oleh bekas tiga perdana menteri Malaysia pertama sebelum ini, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan juga Tun Hussein Onn.”

Beliau selain itu berkata Hadi perlu mengakui isu rasuah sudah berakar umbi di negara ini dan bukan melibatkan masyarakat bukan Islam sahaja.

“Kenyataan-kenyataan pukul rata tanpa bukti ini hanya mengeruhkan keadaan dan tidak membantu dalam memupuk budaya perpaduan antara kaum di Malaysia.

“Saya berharap Hadi Awang dan PAS mengambil baik tiga saranan ini dan cuba memperbaiki pendekatan mereka dengan masyarakat bukan beragama Islam,” kata Lim. – 21 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen