Benarkah tiada DNAA dalam hukum Islam?


KENYATAAN Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam yang konsep dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) tiada dalam hukum Islam tidak berasas kerana ia adalah prosedur yang wujud dalam mana-mana sistem kehakiman dan undang-undang termasuk Syariah. 

Jika benar DNAA tiada dalam hukum Islam, kenapa beliau tidak menasihati bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa untuk tidak menerima perintah DNAA pada 4 November 2020 atas 16 pertuduhan pecah amanah?

Mungkinkah ketika itu, kitab Ustaz Hadi dalam isu ini masih belum wujud? 

Terdapat satu riwayat Rasulullah SAW mengarahkan seorang wanita yang mengaku berzina untuk pulang ke rumah kerana tiada bukti sehinggalah wanita itu bersalin dan sempurna menyusukan anaknya, barulah dihukum atas pengakuannya. 

Bukankah keadaan itu sama dengan DNAA kerana dalam konteks ini, pendakwa raya menarik balik pertuduhan apabila dipertimbangkan antara lain ketidakcukupan bukti atau perlu siasatan lanjut? 

Bukankah dalam Islam, membebaskan 10 orang bersalah lebih baik daripada menghukum seorang yang tidak bersalah?

Bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, pendakwa raya mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan pertuduhan dan justifikasi diberikan kepada mahkamah dalam mana-mana kes berkaitan DNAA termasuk dalam kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi jika kes itu yang dirujuk dalam ucapan Hadi.

Malahan, seksyen 103 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 yang digubal ketika Ustaz Hadi menjadi menteri besar Terengganu menyebut tentang DNAA:

“Pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa boleh jika difikirkannya patut, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu, dan sesudah itu semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran mahkamah dan jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu”. 

PAS tidak seharusnya menggunakan dalil agama mengikut rentak dan selera politik kerana ia boleh mengelirukan rakyat terutamanya orang Islam sekiranya dalil yang disandarkan tidak tepat pada tempatnya. – 14 September, 2023.

* Faiz Fadzil, Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen