Salleh dakwa Mahathir akan rebut jawatan Muhyiddin dalam Perikatan


Dakwa Salleh, PAS melihat Mahathir lebih mengagumkan berbanding Muhyiddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2023.

DR Mahathir Mohamad dijangka akan merebut kuasa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) daripada Muhyiddin Yassin, kata veteran Umno Salleh Said Keruak.

Dakwanya, rancangan itu dicadangkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di mana Dr Mahathir dilihat ‘jauh lebih mengagumkan’ daripada pengerusi PN sedia ada.

Baru-baru ini, Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat negeri ditadbir PN.

Salleh berkata Hadi dan PAS mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi memastikan terus mendapat sokongan Melayu.

“Langkah ini mungkin akan mengejutkan banyak pihak kerana tiada siapa jangka Hadi akan berpandangan jauh sedemikian.

“Ini jelas Hadi mahu mengekalkan momentum gelombang hijau dan terus dapat keuntungan.

“Beliau berazam untuk mengekalkan apa yang PAS dapat masa PRU dan PRN baru-baru ini,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya lagi, dengan Dr Mahathir berada dalam PN, ia akan membuka ruang untuknya kembali semula.

“Memandangkan empat negeri itu secara asasnya adalah negeri Melayu, ini mungkin strategi untuk mengukuhkan sokongan Melayu.

“Dr Mahathir sangat mahukan sokongan Melayu untuk kembali semula (dalam arena politik), sebab itu dia bekerjasama dengan PAS.

“PAS pula mahu gunakan imej Dr Mahathir untuk tarik sokongan Melayu dan bukan Melayu,” katanya. – 22 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen