NGO gagal cabar keputusan peguam negara tak dakwa pendakwah


Ravin Palanisamy

Pendakwah Syakir Nasoha mencetuskan kontroversi kerana rakaman ceramah agamanya yang didakwa menimbulkan kebencian terhadap orang bukan Islam. – Tangkap layar, 26 September, 2023.

MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak permohonan lima kumpulan diketuai NGO Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar keputusan ketua polis negara dan peguam negara untuk tidak mendakwa pendakwah bebas Ustaz Syakir Nasoha berkait kenyataannya yang didakwa menimbulkan kebencian terhadap orang bukan Islam.

GHRF memfailkan permohonan tersebut bersama Parti Bangsa Dayak Sarawak, Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak, Bekas Pelajar Sekolah Cina dan Pertubuhan Malaysia Tamilar Munnetra Kalagam.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid ketika membacakan keputusan berkata kelima-lima NGO terbabit gagal mengemukakan bukti prima facie bahawa keputusan peguam negara dalam kes Ustaz Syakir diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dengan niat mala fide (niat jahat).

Ahmad Kamal berkata peguam negara memutuskan untuk tidak mendakwa pendakwah itu selepas mendapati kandungan video yang dimuat naik dan kemudian tular itu telah disunting daripada ceramah asal.

“Mahkamah berpandangan bahawa pemohon mesti kemukakan bukan hanya laporan polis dan petikan ceramah. Mahkamah tiada kuasa untuk campur tangan kuasa budi bicara peguam negara tanpa bukti yang mencukupi,” katanya.

Beliau juga berkata pemohon tersilap apabila menamakan KPN sebagai responden kerana keputusan untuk tidak mendakwa Syakir adalah di bawah bidang kuasa peguam negara. 

Lima kumpulan berkenaan menamakan KPN dan peguam negara dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.

Mereka diwakili peguam Keshvinjeet Singh, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili KPN dan peguam negara. 

Presiden GHRF S Shashi Kumar memaklumkan mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Kami kecewa dengan keputusan hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Permohonan semakan kehakiman difailkan Oktober tahun lalu susulan keputusan peguam negara untuk tidak mendakwa Syakir berhubung ceramah pendakwah itu yang dirakam di sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah pada 2017.

Lebih 3,000 laporan polis dibuat terhadapnya pada Oktober 2021, atas dakwaan menimbulkan kebencian kepada orang bukan Islam.

Dalam video seminit yang tular di media sosial, Syakir memetik hadis yang beliau terjemahkan berbunyi: “Akhir zaman nanti, musuh-musuh Islam akan mengerumuni kamu sebagaimana orang mengerumuni talam yang penuh dengan makanan, berebut hendak makan.”

“Begitu juga, hari ini orang kafir berebut nak bunuh umat Islam,” katanya.

Beliau juga mendakwa umat Islam di Thailand dan India masing-masing dibunuh oleh penganut Buddha dan Hindu, yang katanya juga ada di negara ini.

Syakir juga membuat kenyataan yang menyinggung masyarakat Dayak apabila mendakwa mereka merogol dan menyembelih umat Islam di Indonesia dan Papua New Guinea.

Dalam satu rakaman video dimuat naik ke YouTube pada 5 Oktober 2021 bagi menjawab tuduhan terhadapnya, Syakir berkata petikan ceramah beliau disalah faham sehingga dilapor polis atas dakwa menghasut.

Katanya, rakaman seminit yang tular itu diambil di luar konteks sementara ceramahnya khusus untuk umat Islam. 

“Bukanlah saya mengkritik agama lain, tetapi ini menjadi satu bentuk kepercayaan dalam agama kami.

“Ini hadis, ini kata-kata daripada Nabi kami. Sekiranya saya menolak bermakna saya menolak kata Nabi saya. Apabila saya menolak kata Nabi saya akan jadi kafir, akan terkeluar daripada Islam,” katanya. – 26 September, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen