Modul penghayatan Hadis 40 tepat dengan keperluan semasa


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah yang tepat apabila mengumumkan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bakal melibatkan 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

Keputusan tersebut dilihat sebagai kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara di samping membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa.

Namun di sebalik pengumuman tersebut terdapat beberapa pihak terdiri daripada masyarakat sivil dan parti politik menyatakan pendirian untuk menentang pelaksanaan tersebut.

Alasan yang dinyatakan untuk menentang usaha tersebut adalah tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan modul berkenaan Hadis 40 Imam Nawawi itu diajar di sekolah kerajaan.

Kumpulan tersebut turut berhujah bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan mengehadkan status Islam sebagai “agama rasmi persekutuan” kepada ritual dan upacara keagamaan.

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil tanggungjawab untuk meredakan polemik tersebut, justeru MBM mengadakan satu sesi perbincangan bersama beberapa perwakilan persatuan daripada Malaysia’s Eight Major Chinese Youth-Based Organisations (EMCO) dan United Malaysian Indian Youth (UMIY) pada 25 Ogos 2023 bertempat di Wisma MBM bagi membincangkan isu tersebut.

Hasil perbincangan tersebut telah disepakati oleh semua pihak untuk menyambut baik hasrat KPM yang bertujuan memupuk kesederhanaan dalam kalangan generasi muda Islam.

Namun MBM beranggapan perlu ada penjelasan yang konkrit selain mekanisme pelaksanaan yang jelas untuk masyarakat bukan Islam agar tidak wujud salah faham.

Kandungan liputan akhbar dan kenyataan media membuka kepada interpretasi yang berbeza akibat kekurangan beberapa konteks penting seperti skop pelaksanaan modul, dan sama ada modul ini hanya merupakan tambahan kepada kandungan pembelajaran yang sedia ada dalam Pendidikan Islam di Sekolah Menengah atau akan dilaksanakan semasa perhimpunan mingguan, sesi kokurikulum, gotong-royong dan sebagainya yang akan melibatkan semua pelajar secara langsung atau tidak langsung.

Kekurangan pencerahan awal beberapa konteks ini mengundang reaksi, tafsiran dan pendirian yang berbeza terhadap isu ini daripada pelbagai pihak.

MBM ingin menghapuskan kegusaran sesetengah pihak terhadap kemungkinan orang bukan Islam akan dipaksa untuk terlibat mempelajari modul tersebut. Kegusaran tersebut telah diredakan melalui kenyataan oleh pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan iaitu Lim Swee Kuan yang menjelaskan modul tersebut akan hanya diajar kepada pelajar Islam.

Salah faham berkenaan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang dipolemikkan oleh sesetengah pihak juga telah dijawab oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) iaitu Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Semua pihak harus faham bahawa kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bukan hanya bersifat ritual, tetapi mencakupi sebagai “agama dan cara hidup sempurna” umat Islam di Malaysia.

Justeru tafsiran berkenaan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipisahkan dengan sejarah pembentukan negara tercinta ini yang berasaskan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

MBM ingin menyeru agar semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

MBM percaya bahawa Islam sebagai agama yang menggalakkan keamanan dan perpaduan akan dapat dimanifestasikan melalui sahsiah pelajar yang terlibat dengan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi. – 29 Ogos 2023.

* Mohd Fauzi Fadzil, exco Majlis Belia Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen