PAS mengulangi sejarah 80-an?


Mohd Azizi Jaeh

PAS telah lama membina institusinya sendiri dalam usaha merapati masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2023.

SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PAS seringkali menegaskan yang pengukuhan politik Melayu-Islam merupakan keperluan membentengi diri dari ancaman kaum dan agama lain. Bukanlah suatu kebetulan PAS kini cenderung ke arah jalur politik yang sekeras dahulu, terutamanya jika kita mengimbas sejarah parti Islam itu pada dekad 80-an.

Hari ini, kecamannya terhadap Umno kerana hubungannya dengan parti bukan Islam seperti DAP merupakan sebuah babak dan ulangan sejarah. 

Sepertimana cerita PAS yang pernah menggunakan dalil dan hujah agama sebagai alasan untuk menentang perkongsian kuasa antara Umno, MCA dan MIC. Masih aktor yang sama (PAS), cuma sasarannya sekarang berbeza.

Dari segi sejarah, petunjuk awal yang menonjolkan sikap radikal PAS semasa era 80-an ialah pengaruh dari Revolusi Iran 1979. Di samping itu, PAS yang terangsang akibat suasana ‘Kebangkitan Semula Islam’ yang menyelubungi masyarakat sejak pertengahan 70-an dan kemuncak 80-an telah memberikannya peluang mencipta semula ‘kepembangkangan Islamiknya’.

Di antara garis masa 80-an dan 90-an, suatu fenomena telah muncul iaitu zaman kegemilangan kaset-kaset ceramah. Ucapan pemimpin PAS dirakam dan disebarkan kepada khalayak banyak mengecam Umno dengan nada yang keras, menyifatkan mereka jahil, tidak Islamik, mengamalkan rasuah, bertindak zalim serta membayangkan sokongan terhadap Umno sebagai tindakan yang boleh terkeluar daripada Islam.

Lebih menggemparkan dakwaan terdapatnya pemimpin PAS yang mengatakan orang Umno tidak sah dijadikan imam sembahyang, sembelihan binatang orang Umno tidak boleh dimakan, tidak sah akad nikah sekiranya jurunikah itu orang Umno, dan suami-isteri jika salah satunya orang Umno, hukumnya adalah berzina apabila bersetubuh.

Secara automatik, isu kafir-mengkafir mengambil semula tempat. Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam reaksinya menjelaskan bahawa kedua parti iaitu PAS dan Umno mempunyai pengikut yang ekstrem. Cerita kafir-mengkafir, menurutnya, tidak akan timbul sekiranya hanya dibangkitkan di satu pihak yang cenderung mempertikaikan syariah Islam.

Pengkaji politik Islam Malaysia seperti Mohamad Abu Bakar berpendapat orang Melayu yang masih terbeban dengan kemunduran material berbanding kaum lain akan menjadi audiens politik yang sensitif terhadap setiap pengutaraan isu agama yang boleh membantu menegakkan  kedudukan dan menaikkan motivasi perjuangan mereka.

‘Amanat Hadi’ pada 1981 antara babak penting yang menyeru kepada semangat jihad dan syahid dalam melawan Umno dan Barisan Nasional. Namun, ia dinaratifkan pemerintah sebagai gejala pelampau dan ekstrem. Dekad 1980-an menyaksikan kumpulan dan individu yang dikatakan terkesan dengan Amanat Hadi akan bertindak menumbangkan kerajaan secara kekerasan.

Pemimpin Umno mengaitkan PAS kerana didakwa menghasut melakukan kegiatan yang bersifat militan. Pada 19 November 1985 tercetusnya Peristiwa Memali. Akan tetapi PAS tidak menafikan pertaliannya dengan Ibrahim Libya. PAS menyifatkan Ibrahim Libya dan pengikutnya sebagai mati syahid kerana menjadi mangsa kezaliman pemerintah.  

Sementara reaksi Umno ialah mempertahankan tindakan kerajaan sebagai defensif dan melabelkan kumpulan yang terlibat dengan Peristiwa Memali sebagai kumpulan radikal agama yang didukung oleh PAS.

Beberapa peristiwa yang diutarakan penulis merupakan tumpuan dan perlakuan PAS era 80-an. Biarpun kebangkitan Islam sejagat melanda dunia ketika tu, pengaruh PAS berjaya dibendung dan dikekang. 

Dalam PRU 1986, setahun selepas kejadian Memali, PAS mengalami pembelasahan yang paling teruk dalam sejarah penubuhannya apabila hanya memenangi satu kerusi parlimen iaitu di Bachok, bahkan Abdul Hadi turut kecundang di Parlimen Marang biarpun PAS memakai slogan pilihan raya ‘PAS Parti Allah’.

Selepas melalui 71 tahun jatuh bangun, PRU15 menyaksikan PAS melebarkan pengaruhnya apabila menaikkan graf sokongannya sehingga mampu mencatatkan rekod memenangi 43 kerusi.

PAS dilihat mengulangi semula cara politik 80-an dengan mengambil pendirian yang disifatkan melanggar garis merah – memanjangkan kritikan kerasnya terhadap Pakatan Harapan (PH), DAP dan Umno.

Sebagai contoh, memetik tulisan Hadi Awang pada Julai 2023 yang menyebut antaranya, “Melayu yang berada dalam PH lebih kepada matlamat hendak menguasai politik; sikap yang sama dengan DAP bagi memegang jawatan tanpa memandang jauh ke hadapan dan berwawasan akhirat. Sehingga mereka sanggup berwala’ kepada orang bukan Islam yang diharamkan oleh Allah, bukan lagi mengadakan tahaluf yang diharuskan oleh Allah.”

Contoh lain yang tersiar dalam lidah propaganda PAS ialah “cara golongan munafiq menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan”, “agenda PH-DAP beri ruang kelompok minoriti lebih berkuasa” dan beberapa pelabelan ditujukan kepada lawan politik berseberangan seperti sekular, liberal, Islamofobia dan musuh Islam.

Tidak ketinggalan, seorang agamawan yang bersentuhan rapat dengan PAS baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengecam pemimpin negara sebagai jahil dan sesat dalam isu surah Ashabul Kahfi.

Pendirian seumpama ini disifatkan hanya akan mengasingkan pengundi Melayu yang konservatif dan progresif, malah menjarakkan kedudukan pengundi bukan Melayu apabila ketakutan ditimbulkan PAS menerusi kenyataan media dan ceramah.

Menyedari pentingnya penggunaan simbol Islam, ucapan yang membangkitkan semangat bangsa serta penekanan unsur Islam, maka PAS dilihat menggunakan strategi untuk menggempur habis-habisan kubu Melayu agar Umno terus melemah.

Mungkin agak keterlaluan untuk mengatakan PAS meniru bulat-bulat ‘metodologi perjuangan’ 80-an, namun dalam beberapa aspek ucapan dan retorik agama yang dimainkan mungkin ada beberapa persamaan. 

Kebangkitan PAS yang semakin dirasai sekarang bagi penulis berpunca daripada Kebangkitan Islam 2.0. Perkembangan yang menyokong kebangkitan ini bukan lagi didorong oleh peristiwa besar seperti Revolusi Iran. Sebaliknya tumpuan dan perhatian mula terhasil dari tapak semaian PAS sepanjang puluhan tahun aktivinya. 

Parti itu telah lama membina institusinya sendiri dalam usaha merapati masyarakat seperti tadika Pasti, sekolah pondok, madrasah dan kedai-kedai runcit. Ini sekali gus telah berjaya menghasilkan produk yang berupaya menyampaikan tazkirah, dakwah, kegiatan  usrah, derma dan sukarelawan dalam usaha menambah dan menarik keanggotaan PAS.

Pengaruh Umno yang merosot dalam kalangan orang Melayu Islam menyebabkan kekosongan yang ditinggalkan itu telah diisi oleh PAS.

Ditambah pula, PAS hari ini telah muncul sebagai organisasi yang aktif menggunakan teknologi komunikasi yakni menguasai perang di media sosial. 

PAS secara tersirat menampilkan beberapa agamawan yang berdampingan dengan mereka. Nama seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Abdullah Khairi, Ustazah Asma Harun antara ‘pendakwah selebriti’ yang mempunyai ramai pengikut, malah live yang mereka siarkan mendapat tontonan (view) yang besar mengatasi pemimpin utama negara.

Walaupun era kaset telah lama digantikan, pembikinan content oleh setiap penyokong dan anggota PAS di pelbagai platform dapat melebarkan pengaruh parti berkenaan yang kini berjumlah lebih sejuta ahli.

Kandungan berunsurkan agama dan kaum kini menjadi keghairahan pelayar yang mengikuti perkembangan politik semasa sekaligus menandakan yang kebangkitan Islam 2.0 di Malaysia disumbangkan oleh faktor ‘politik digital’. 

Suatu yang membezakannya dengan perkembangan PAS pada era 80-an. – 27 Disember, 2023.


 

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen