Pandangan Lim Kit Siang ‘separuh benar’


Mohd Azizi Jaeh

Pandangan yang ditimbulkan oleh veteran DAP Lim Kit Siang dilihat mencabar pemikiran lazim yang telah melekat dan terinstitusi dalam kehidupan politik orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2023.

ISU perdana menteri bukan Melayu tidak hanya mencetuskan bahang di ruang awam, bahkan cubaan mengumpan pemimpin Melayu untuk ‘bersilat’. Kenyataan yang terbit dari Lim Kit Siang menjadikan beliau sasaran polemik dan DAP sebagai punching bag.  

Maka ramailah pemimpin Melayu menyanggah keras ulasan Lim itu.

Perbincangan mula menjadi intense kerana reaksi orang Melayu khususnya pemimpin parti Melayu kekal mempertahankan status quo, iaitu pemimpin utama wajib Melayu!

Malah terdapat ahli politik daripada Perikatan Nasional menunjukkan sikap overprotective apabila menyarankan pindaan Perlembagaan bagi menghalang individu yang bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Menurut pandangan Lim “perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi seorang perdana menteri.”

Pandangan yang ditimbulkan oleh ahli politik veteran DAP itu dilihat mencabar pemikiran lazim yang telah melekat dan terinstitusi dalam kehidupan politik orang Melayu.

Lim juga menyedari penguasaan DAP dalam kerajaan sekarang masih tidak memenuhi impian yang diperjuangkan parti berkenaan selama lebih 58 tahun penubuhannya yakni meletakkan persamaan untuk semua kaum.

Lim merasakan jawatan perdana menteri selama ini didominasi satu-satu kaum harus ditamatkan. Lagi pula, semua perdana menteri lahir dan diasuh dari kilang Umno (sebuah parti Melayu yang lama menjadi musuh ketat DAP).

Maka, Lim mungkin mengimpikan suatu masa nanti Malaysia akan berpeluang mengangkat perdana menteri dalam kalangan bukan Melayu dan bukan dari parti Umno.

Pandangan Lim itu antara lain disifatkan oleh pengkritiknya sebagai ‘silap mata politik’ bagi memenuhi ‘cita-cita unggul’ DAP. Tanpa sedar, Lim menyerlahkan ideologi sosialisme yang dianutinya dengan menyifatkan yang politik kaum boleh dihapuskan apabila setiap warganegara mendapat layanan sama rata.

Sebenarnya, kenyataan yang dikeluarkan Lim mempunyai beberapa tafsiran dan aspek penting. Begitu pun, penulis ingin menumpukan beberapa aspek perlembagaan.

Unsur praktikal yang mencakupi Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 43(2)(a) tidak menghalang perdana menteri dilantik dalam kalangan bukan Melayu atau mengkhususkan mana-mana etnik.

Tersirat juga pada isu yang dibangkitkan Lim, terutamanya syarat menjadi perdana menteri bukannya sebahagian daripada hak dan kedudukan istimewa orang Melayu (rujuk Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan). Itu merupakan kenyataan fakta, sama ada kita bersetuju atau tidak.

Tetapi harus ditegaskan juga bahawa peruntukan perlembagaan itu harus dibaca bersama dengan peruntukan Perkara 40(2)(a) yang menjelaskan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicaranya untuk melantik perdana menteri.

Budi bicara di sini bermaksud Agong berkuasa penuh untuk memilih atau menolak pelantikan perdana menteri.

Perlembagaan harus dibaca keseluruhan, tidak terpisah-pisah dan bukannya secara literal. Perlembagaan bukanlah dokumen perundangan yang kaku, tetapi ia sebuah ‘dokumen hidup’ yang akan dikendalikan oleh pemegang amanah dengan mengambil kira realiti.

Bersandarkan kepada ‘kenyataan fakta’ sahaja tidak mencukupi tetapi perlu mengambil kira ‘kenyataan realiti’. Sesuatu yang diimpikan Lim agak mustahil direalisasi apabila dua kenyataan itu tidak berlaku secara serentak.

Idea perdana menteri bukan Melayu agak sukar menjadi realiti bersandarkan beberapa kewajaran. Pertumbuhan dan kadar populasi Melayu diunjurkan akan mencapai lebih 70% menjelang 2040 sekali gus membentuk politik Melayu sebagai induk. Paling penting, tiada sesiapa yang boleh menjadi perdana menteri tanpa sokongan padu orang Melayu. Ini realiti yang harus difikirkan mendalam oleh Lim.

Di samping itu, kawasan parlimen bukan Melayu tidak akan melebihi jumlah kawasan parlimen Melayu sekalipun persempadanan semula dijalankan kelak. Ia harus mengambil kira keutamaan kawasan di luar bandar (rujuk Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan). Jika tidak, ia berisiko besar ditolak dan tidak diluluskan oleh Parlimen.

Kerisauan dan ketakutan dalam isu ini berasaskan pandangan berat sebelah yang dibawa ahli politik sementara rata-rata masyarakat tidak memandangnya secara menyeluruh. Pada hemat penulis pandangan Lim itu disifatkan ‘separuh benar’ dari sudut realiti politik Melayu.  

Walaupun gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP sering menekankan Malaysia adalah hak milik sama rata untuk rakyat dan tidak dikhususkan kepada mana-mana kaum tertentu, tetapi terdapat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang diberikan ‘kekecualian’.

Misalnya peruntukan Perkara 153 berhubung kedudukan istimewa orang Melayu yang menandakan adanya ‘diskriminasi positif’.

Idea kesamarataan antara Melayu dan bukan Melayu dianggap oleh etnik Melayu sebagai strategi meningkatkan kuasa politik Cina. Memandangkan orang Melayu agak ketinggalan dari segi ekonomi berbanding kaum Cina, perkara ini menjadi penolakan kuat kepada Malaysian Malaysia.

Dari segi sejarah, Malaysian Malaysia merupakan ideologi yang ‘diimport’ dari parti PAP yang berpangkalan di Singapura. Sejarah juga memaparkan Lee Kuan Yew pada 1964 pernah menganggap dirinya layak ditabalkan sebagai perdana menteri semasa Singapura berada dalam Persekutuan Malaysia. Peristiwa itu telah meninggalkan bekas yang mendalam kepada psiki orang Melayu.

Ketika meningkatnya suhu politik kaum pada 1960-an, Lim antara yang ‘beraksi’ sebagai pembangkang utama dalam DAP. Namun kenyataan Lim ketika ini agak membingungkan, ketika DAP dan Umno telah bekerjasama dalam gabungan kerajaan perpaduan. Perkara yang berisiko kepada kestabilan kerajaan.

Bagaimanapun, tidak menjadi masalah buat Lim mengigaukan bukan Melayu menjadi perdana menteri untuk masa depan. Jika ditakdirkan berlaku, ia bukanlah suatu projek yang dirancang tetapi berlaku secara natural dan diterima secara konsensus oleh anggota masyarakat.

Barangkali ketika itu kita telah membina sebuah bangsa Malaysia yang meninggalkan ikatan identiti masing-masing. – 21 Disember, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen