Amanah tak perlu ikut Perikatan politikkan kaum, kata akar umbi


Diyana Ibrahim

Pemimpin akar umbi percaya Amanah perlu kekal dengan prinsipnya untuk bersederhana dan progresif terutama dalam isu berkaitan bangsa dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2023.

PARTI Amanah tidak perlu terikut-ikut dengan cara pembangkang mempolitikan isu bangsa dan agama untuk memenangi hati pengundi Melayu Islam konservatif, kata pemimpin akar umbinya.

Mereka percaya Amanah perlu kekal dengan prinsipnya untuk bersederhana dan progresif terutama dalam isu berkaitan bangsa dan agama.

Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Sheikh Khuzaifah Bawaseer berkata tidak ada gunanya Amanah menjadi parti paling pro-Melayu dan Islam bagi meraih sokongan pengundi tersebut.

“Kita tak bolehlah nampak terlalu Islamik lebih daripada PAS, atau kita tak boleh jadi terlalu lebih Melayu dari Umno.

“Nak pakai tanjak, cium keris memang nampak pelik untuk Amanah buat begitu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian bagi menilai dasar yang perlu dibentuk Amanah bagi mengekalkan sokongan segmen pengundi Melayu.

Amanah ditubuhkan oleh kumpulan profesional dan progresif dalam PAS yang terbuang ekoran pertembungan dengan golongan konservatif dalam parti Islam itu pada 2015.

Kumpulan pemimpin profesional ini menolak keputusan PAS meninggalkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dengan PKR dan DAP.

Selepas itu, Amanah membentuk kerjasama baharu dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) yang membolehkan gabungan itu mengambil alih Putrajaya buat kali pertama pada 2018.

Namun kemampuan Amanah untuk menarik pengundi dalam segmen itu terus merosot, seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos.

Perikatan Nasional (PN) mendapat 60% undi Melayu daripada 245 kerusi yang dipertandingkan berbanding PH yang hanya mendapat 40% undi Melayu.

Begitu juga dalam PRU15, PN menguasai undi Melayu apabila memperoleh 54% undi orang Melayu diikuti Barisan Nasional (32 %) dan PH (13 %).

Mengulas perkembangan itu, Sheikh Khuizaifah berkata, pengundi setia dari kelompok pertengahan berisiko akan mengalih sokongan jika Amanah terlalu tunduk dan terikut dengan sentimen tersebut.

Oleh itu, Amanah sebaliknya perlu memberi kefahaman dan mendidik rakyat mengenai Islam yang  progresif dan sederhana.

“Biarpun tidak mudah dan ia memakan masa sebenarnya tapi ia adalah cara paling terbaik iaitu dengan memberi kefahaman dan mendidik rakyat.

“Daripada kita cuba terikut-ikut dengan cara parti politik lain. Kita tidak menolak ada juga desakan dan tekanan.

“Tapi itulah cabaran yang Amanah perlu hadapi. Iaitu bagaimana kita mahu kekal dengan prinsip parti kita,” katanya.

Ketua Amanah Kuala Terengganu Zamir Ghazali pula tidak menolak pandangan bahawa parti sememangnya gagal menarik sokongan pengundi Melayu konservatif.

Katanya, walaupun Amanah satu-satunya parti berasaskan Melayu Islam sepenuhnya berbanding rakan parti politik lain dalam PH, namun ia berdepan dengan cabaran persepsi.

Selain itu, beliau percaya ia turut dipengaruhi faktor masyarakat kurang memahami naratif politik yang cuba dibawa Amanah sebagai satu parti sederhana dan progresif.

“Sebab itu kita kena rakyat faham penubuhan sebenar Amanah ini,” katanya.

Beliau berpendapat, sudah tiba masanya Amanah keluar dari naratif bahawa parti itu menyambung legasi perjuangan bekas mursyidul am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Amanah kena cari tokoh perjuangan yang sama dengan prinsip Amanah untuk dijadikan inspirasi seperti Munshi Abdullah, Za’aba, atau Buya Hamka.

Justeru, Amanah perlu melakukan pembaharuan dalam strateginya terutama dalam memberi kefahaman kepada rakyat tentang konsep sebenar yang dibawa parti tersebut, kata Zamir. – 20 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen