Tidak perlu ada klausa untuk sekat jawatan PM kepada orang Melayu, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tidak ada keperluan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menyekat jawatan perdana menteri kepada orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2023.

TIDAK ada keperluan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menyekat jawatan perdana menteri kepada orang Melayu, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata tidak ada permintaan atau perbincangan serius mengenai pindaan Perlembagaan supaya hanya seorang ahli Parlimen Melayu boleh memimpin negara.

“Setakat ini tidak ada keperluan, tiada permohonan serius, tiada perbincangan.

“Sejak merdeka hingga sekarang, calon perdana menteri adalah orang Melayu.

“Walaupun selepas ini calon daripada kerajaan dan pembangkang adalah Melayu,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Bandar Baru Bangi hari ini.

Wan Fayhsal Wan Ahmad yang merupakan ketua pemuda Barsatu mencadangkan pindaan itu bagi mengembalikan keyakinan dalam kalangan orang Melayu yang bengang dengan kenyataan terbaru dibuat veteran DAP Lim Kit Siang berkenaan Perlembagaan Persekutuan tidak melarang bukan Melayu jadi perdana menteri.

Lim mencetuskan perdebatan nasional selepas memberikan ucapan di mana beliau menyatakan harapannya agar Malaysia suatu hari nanti mempunyai perdana menteri bukan Melayu.

Sejak itu beberapa laporan polis dibuat dan bekas ketua pembangkang itu di bawah siasatan polis.

Lim menegaskan beliau tidak berniat untuk menjadi provokatif kerana kenyataannya adalah dalam bidang Perlembagaan Persekutuan. – 15 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen