Rombak Kabinet: Itu prerogatif perdana menteri, kata Fadillah


Fadillah beramah mesra dengan warga Sekolah Menengah Agama Tun Ahmad Zaidi, Petra jaya, hari ini. – Gambar Facebook, 2 Disember, 2023.

KEPUTUSAN untuk membuat sebarang rombakan dalam Kabinet adalah hak Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepenuhnya, yang pasti akan menitikberatkan kemampuan seseorang itu untuk menerajui kementerian, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Saya tak tahu pun ada rombakan kabinet (kerana) tiada perbincangan dengan saya. Itu prerogatif perdana menteri dan sudah pasti dia akan menilai adakah kementerian itu bersesuaian dengan kemahiran dan pengetahuan yang ada pada seseorang itu,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas Program Promosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kuching hari ini berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar semalam yang memberi bayangan rombakan Kabinet dijangka berlaku sebelum 2024.

Menyentuh mengenai TVET, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata pusat khidmat Parlimennya akan meluaskan kerjasama dengan badan bukan kerajaan Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) bagi menggerakkan program mempromosikan bidang itu di peringkat sekolah.

“Tumpuan ialah di kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah parlimen ini iaitu Tupong, Satok dan Samariang. Saya akan menyokong perancangan dari segi bentuk program yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun hadapan,” katanya. – Bernama, 2 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen