Donald Tusk PM baharu Poland


Donald Tusk memperoleh 248 undi menyokong pencalonannya bagi jawatan perdana menteri di dewan tertinggi Parlimen Poland, Sejm. – Gambar EPA, 12 Disember, 2023.

DONALD Tusk dipilih sebagai perdana menteri Poland menerusi undian di Sejm, dewan tertinggi Parlimen, pada petang Isnin selepas kerajaan sedia ada gagal mendapatkan undi percaya.

Tusk memperoleh 248 undi menyokong pencalonannya untuk jawatan berkenaan di Sejm, manakala 201 ahli Parlimen mengundi menentang di dewan rendah Parlimen Poland.

Beliau disokong oleh tiga kumpulan pembangkang terbesar negara: Gabungan Sivik, Aliran Ketiga dan Haluan Kiri Baharu, lapor Xinhua.

Sejm memilih Tusk hanya beberapa jam selepas perdana menteri terdahulu Mateusz Morawiecki gagal memperoleh undi percaya yang mencukupi.

Poland mengadakan pilihan raya Parlimen pada 15 Oktober, di mana parti pemerintah Parti Undang-undang dan Keadilan (PiS) memenangi kebanyakan undi, tetapi gagal mencapai majoriti dalam Sejm.

Morawiecki, calon perdana menteri dari parti PiS, telah ditugaskan oleh Presiden Andrzej Duda pada 27 November untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, pada petang Isnin, kerajaannya hanya memperoleh 190 undian manakala 266 undi menentang, menamatkan pemerintahan lapan tahun oleh parti PiS.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan perdana menteri baharu kemungkinan berlangsung pada Rabu. – Bernama, 12 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen