PRESIDEN Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amirabdollahian terkorban dalam nahas helikopter di kawasan pergunungan berhampiran sempadan negara itu dengan Azerbaijan, kata media kepada Reuters.
Serpihan helikopter itu ditemui hari ini selepas pencarian dibuat sepanjang malam dalam keadaan ribu salji.
Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters tiada mangsa yang terselamat dalam nahas yang berlaku semalam.
Tiada maklumat rasmi mengenai punca nahas itu tetapi televisyen kerajaan melaporkan imej menunjukkan helikopter itu terhempas ke puncak gunung. IRNA, sebuah agensi berita negara mengenal pasti model helikopter itu sebagai Bell 212 buatan AS.
Ebrahim, 63, dikenali sebagai seorang yang tegar dan berpotensi pengganti Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, pihak berkuasa tertinggi di negara itu.
Sejak pemilihannya pada 2021, beliau mengetatkan undang-undang moral dan mengawasi tindakan keras terhadap penunjuk perasaan antikerajaan sambil terlibat dalam rundingan nuklear dengan kuasa dunia.
Presiden AS Joe Biden diberi taklimat mengenai nahas itu, kata Rumah Putih.
China melahirkan kebimbangan manakala Rusia, Arab Saudi, dan Qatar lebih awal menawarkan bantuan kepada Iran selepas berita mengenai nahas itu tersebar. – 20 Mei 2024.
Komen